Nasrul Ali Hasan
Nasrul Ali Hasan

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching tidak ada hak untuk menghalang atau mengarahkan rakyat berhenti dari mencabar keabsahan sekolah vernakular di mahkamah.

Ketua penaja Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, kenyataan itu langsung tidak mencerminkan kedudukan sebenar sekolah vernakular dari segi perlembagaan negara dan juga sekali gus seperti sengaja merendahkan hak bersuara oleh rakyat.

“Nie Ching cuba membayangkan usaha peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz telah gagal, sedangkan hakim telah memutuskan untuk perkara tersebut lebih sesuai difailkan melalui peruntukan Perkara 4(1) di Mahkamah Tinggi terlebih dahulu.

“Penghakiman di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini adalah keputusan subtaintif dan merit berkenaan usul Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) ini sah atau tidak disisi perlembagaan.

“Isu ini telah difailkan melalui Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan bagi mendapatkan kebenaran Hakim Mahkamah Persekutuan untuk usul tersebut dibicarakan di Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Nie Ching ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen hari ini dilaporkan berkata, rakyat harus menghentikan mencabar keabsahan sekolah vernakular kerana ia adalah aset penting dalam kepelbagaian kaum di negara ini.

Beliau mengucap tahniah kepada Pejabat Peguam Negara menunjukkan bahawa pejabat AG dapat membela sekolah vernakular di Mahkamah Persekutuan.

“Saya harap pihak pemohon juga akan hentikan tindakan mereka untuk mencabar sekolah vernakular kerana seperti yang disebut oleh ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH), sekolah vernakular sepatutnya menjadi aset yang penting kepada kepelbagaian negara kita,” kata pemimpin DAP itu.

Di Putrajaya, Mahkamah Persekutuan menolak untuk memberi kebenaran kepada pemohon (Mohd Khairul Azam) bagi memulakan tindakan mencabar keabsahan sekolah vernakular yang bertentangan dengan Perlembagaan.

Hakim Tan Sri Azahar Mohammad ketika membaca teks alasan penghakiman selama 43 minit memberi alasan, tindakan itu keseluruhannya adalah kelihatan berkaitan persoalan sama ada Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 sebagai bertentangan (ultravires) dengan Perkara 152 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah memberitahu, sekiranya itu adalah niat pemohon, maka tindakan itu hendaklah dimulakan di Mahkamah Tinggi mengikut Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu sekiranya sesuatu undang-undang itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, ianya adalah terbatal setakat yang berlawanan dengan Perlembagaan.

Menurut Nasrul Ali Hasan, penolakan itu bukan keputusan muktamad mengenai kewujudan sekolah vernakular dari segi perlembagaan, malah ia hanya keputusan teknikal.

Katanya, pergerakan itu berpandangan pengekalan sistem pendidikan sekolah vernakular adalah satu ancaman kepada perpaduan negara.

“Ini adalah usaha seseorang berjiwa nasionalis yang mahukan kedamaian dan kemakmuran dipupuk secara bersama sejak di bangku sekolah lagi bagi menjamin masa depan Malaysia yang menuju ke arah negara maju.

“Jika sekolah vernakular dikekalkan pastinya pada masa akan datang ada di kalangan etnik dari kaum majoriti Melayu ini juga mahukan hak yang sama kerana keberadaan etnik ini lebih awal jika dibandingkan kaum Cina dan India yang datang ketika penjajahan British.

“Kerajaan juga perlu memberi mereka hak itu demi keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan PH yang sebelum ini ghairah memperjuangkan hak bersuara oleh rakyat sepatutnya lebih terbuka jika seseorang individu atau rakyat itu bersuara demi keharmonian, ketelusan negara serta bebas dari pengaruh luar.

Katanya, kenyataan timbalan menteri itu seolah cuba menghalang proses demokrasi dan seperti sengaja menghalang serta menyekat rakyat dari bersuara. – MalaysiaGazette