Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (tengah) diiringi calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini (dua kanan) ketika hadir pada Majlis Pecah Tanah Dewan Terbuka Sekolah Batu 24 di Pekan Nanas, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 11 NOVEMBER 2019.

PEKAN NANAS – Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini berpendapat kehadiran 30 atau 40 orang pengundi tempatan lebih baik daripada 300 orang yang kebanyakannya jentera yang datang membantu pembangkang pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.

Katanya, sasaran beliau kini sudah tertumpu kepada pengundi agar mereka benar-benar memahami apa perjuangan PH.

Menurut beliau, kebanyakan orang yang menyokong pembangkang yang berbaju biru adalah orang luar.

Ditanya mengenai kempen bersemuka pengundi dari rumah ke rumah, Karmaine mengakui pengundi suka disantuni calon secara bersemuka dengan melawat mereka.

“Memang kita pun ada ziarah orang sakit dan sebagainya bukan kita beri bantuan tetapi orang kata simpati pada dialah dan memang berdebar menjelang kempen berbaki empat hari sahaja lagi sebelum hari mengundi tapi insyaAllah yakin menang,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Batu 24 di sini.

Beliau hadir untuk Majlis Pecah Tanah Dewan Terbuka yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik pagi ini.

Beliau juga diminta mengulas mengenai bilangan pengundi yang tidak ramai pada ceramah PH berbanding pembangkang BN.

Karmaine bagaimanapun menegaskan, orang kampung di Tanjung Piai memang segan keluar untuk mendengar ceramah menyebabkan beliau memberi tumpuan di masjid dan menziarahi rumah ke rumah.

“Orang kampung ini memang tak nak keluar dia segan, orang kampung memang macam itu.. dorang suka balik ke rumah jadi saya lebih tumpu mereka di masjid.

“Itu bukan kekangan cuma penduduk tempatan tak berapa selesa cara hidup macam itu selepas Isyak duduk di rumah, tetapi saya tak risau sebab kita pergi rumah ke rumah sampaikan mesej,” katanya lagi.

Karmaine yang ditanya mengenai pengundi India yang beliau temui berkata, pengundi India tidak ramai di Tanjung Piai namun adalah menjadi tanggungjawab beliauĀ untuk menghubungi mereka supaya balik mengundi.

Beliau juga yakin boleh menang sekiranya 1 peratus pengundi India atau 580 orang mengundi PH.

“Mereka pengundi kurang tertarik disebabkan bosan dengan politik dan kemungkinan itu ada sebab kita politik ini berterusan selepas pilihan raya di sini.

“Kemungkinan itu ada sedikit faktor bosan mungkin mempengaruhi peratusan keluar undi kurang tapi saya minta mereka keluarlah ramai ramai sebab PRK ini tak kurang pentinganya macam PRU,” katanya. – MalaysiaGazette