Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hadir pada Program Perjumpaan bersama Penghulu dan Ketua Kampung Daerah Pontian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di T5 Boutique Hotel, Pontian, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 11 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Majlis Daerah Pengerang dinaiktaraf menjadi Majlis Perbandaran berkuat kuasa hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan menaik taraf Pihak Berkuasa tempatan (PBT) itu dibuat selepas Pengerang berjaya mencapai sasaran pungutan hasil melebihi RM32 juta.

Malah katanya, jumlah penduduk untuk mengangkat Pengerang dengan status perbandaran juga juga sudah melayakkkan apabla mempunyai bilangan sebanyak 150,000 orang.

“Hari ini saya nak menyampaikan berita gembira kepada orang Johor bahawa Pengerang sudah boleh diangkat menjadi Majlis Perbandaran Pengerang.

“Untuk itu ia bukan saja akan jadi Majlis Perbandaran tapi juga diiktiraf sebagai bandar smart city (bandar pintar), yang mana satu kawasan di selatan telah dizonkan dalam 300 ekar yang akan menjadi zon smart city,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penghulu dan ketua-ketua kampung daerah Pontian di sini hari ini.

Hadir sama pada pertemuan itu, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang, Hazlina Jalil.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, dalam pertemuannya itu beliau mengingatkan penghulu dan ketua-ketua kampung bahawa konsep bandar pintar bukan saja terhad di kawasan-kawasan majlis perbandaran sebaliknya, ia juga boleh dilaksanakan di desa.

Ujarnya, kemajuan perkampungan tidak akan tersekat dibawah majlis perbandaran atau majlis bandaraya sebaliknya, ia akan berada seiring dengan kedua-duanya.

Ketika ditanya mengapa pengumuman itu dibuat ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sedang berjalan, Zuraida memberitahu, kerajaan mahu memastikan jumlah penduduk di kawasan itu mencepai jumlah yang ditetapkan iaitu 150,000 orang dan pengesahannya diperoleh dalam pertemuan hari ini.

Katanya, keputusan untuk menaik taraf Pengerang kepada majlis perbandaran juga telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan pada Mei lalu.

Dalam pada itu Zuraida berkata, sebuah lagi PBT yang bakal dinaik taraf menjadi bandaraya di Johor iaitu Pasir Gudang akan diumumkan pada masa akan datang.

Katanya, langkah menaiktaraf PBT berkenaan kini sedang dalam proses kelulusan dan semakan mengenainya sedang dibuat.

Sementara itu, Sahruddin ketika ditemui pada majlis sama berkata, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana mengiktiraf PBT Pengerang sebagai majlis perbandaran.

“Alhamdulillah dan tahniah kepada penduduk di Pengerang, semoga dengan tertubuhnya majlis perbandaran akan memajukan lagi kawasan itu. Insyaaallah ia akan jadi bandar pintar, boleh jadi model di Malaysia,” tambah beliau.

Hazlina ketika ditemui pula berkata, hasrat menjadikan Pengerang sebagai bandar pintar sememangnya telah lama ditunggu dan pelbagai program telah dirancang bagi menjayakannya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast