Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Gesaan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun agar semua parti dan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai perlu mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM)  untuk kempen yang dibuat dari rumah ke rumah dibidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Soal beliau, di bawah akta mana yang digunakan oleh Azhar Azizan bagi mengklasifikasikan aktiviti itu sebagai suatu bentuk berkempen.

“Saya pun tak pasti di bawah akta mana peraturan yang baru ini dikeluarkan. Kalau kempen atas kenderaan, kenderaan itu kena berhenti tidak boleh berkempen sewaktu kenderaan bergerak. Dulu tidak ada seperti ini.

“Begitu juga kempen rumah ke rumah, kalau dulu tidak ada permit, ceramah sahaja yang perlukan permit.

“Sekarang ini tambahan lagi peraturan baru. Saya pun tak faham dengan SPR ini. Dari segi mana? Sepatutnya mereka adalah badan berkecuali dan bukan badan yang dikuasai oleh kerajaan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Bera itu diminta mengulas mengenai kenyataan Azhar Azizah yang mahu kempen rumah ke rumah perlu mendapat permit daripada pihak polis.

Oleh yang demikian, beliau mendakwa gesaan ini dilihat untuk menyukarkan kempen pembangkang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

“Apa yang nak dilakukan SPR mestilah berdasarkan undang-undang dan akta. Jadi saya tidak faham kenapa perkara seperti ini timbul di PRK Tanjung Piai.

“Adakah kerana pihak PH nampak mereka mempunyai jalan yang sukar untuk menang. Jadi akhirnya SPR membantu mereka untuk menyusahkan parti-parti pembangkang seperti BN dan sebagainya,” katanya lagi.

Azhar Azizan hari ini dalam satu kenyataan berkata, program tinjauan mesra (walkabout) pula turut dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.

“Semalam telah diadakan perjumpaan antara pegawai-pegawai SPR bersama dengan Ketua Polis Daerah Pontian serta pegawainya. Tujuan perjumpaan adalah bagi menyelaraskan dan memperjelaskan isu-isu berkaitan dengan permit dan peraturan berkempen terutama berkaitan dengan program walkabout yang diadakan oleh semua calon atau parti yang bertanding.

“Hasil perbincangan tersebut telah diputuskan bahawa pihak PDRM meminta supaya calon dan parti terlibat dalam kempen mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PRK Tanjung Piai bakal mengambil tempat Sabtu ini selepas 14 hari berkempen sejak 2 November lalu.

PRK kesembilan itu diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Selain PH dan BN, PRK kali ini turut membabitkan calon Gerakan yang diwakili Wendy Subramaniam, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (BERJASA) serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar. -MalaysiaGazette