Muhammad Khalil Abdul Hadi tindakan Israel
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Program calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang dipenuhi penduduk kaum Cina, mengejutkan banyak pihak.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebelum ini ramai berpendapat kaum Cina di Parlimen itu akan berterusan memberikan undi kepada Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana, katanya, peralihan sokongan kaum Cina daripada MCA kepada DAP menjangkau kira-kira 85 peratus dari keseluruhan undi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Sebelum hari penamaan calon di PRK Tanjung Piai, ramai berpendapat PH akan kembali memenangi semula kerusi Parlimen tersebut berdasarkan sentimen PRU14 yang lalu terutama gelombang pengundi bukan Melayu secara spesifiknya kaum Cina.

“Tetapi, dengan PH hanya memiliki kelebihan 524 undi ketika PRU14, senario yang berlaku di Tanjung Piai sekarang menampakkan tanda PH bakal kalah pada PRK kali ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menjelaskan, sepanjang minggu lalu program PH mendapat sambutan dingin di Tanjung Piai, manakala program BN pula dipenuhi penduduk terutama kaum Cina.

Kata Muhammad Khalil, dengan sokongan dan undi dari kaum Cina yang dijangka menjadi penentu PRK kali ini, kegusaran di pihak PH terutamanya DAP jelas kelihatan.

DAP katanya, dilihat memperhebatkan serangan terhadap Pas dan UMNO terutama Muafakat Nasional yang digambarkan akan menjadi ancaman kepada orang bukan Melayu.

“Ternyata serangan DAP terhadap Muafakat Nasional gagal dan tidak memberi kesan kepada Pas, UMNO mahupun calon BN.

“Namun, yang menjadi persoalan mengapa secara jelas di Tanjung Piai kaum Cina berpaling arah kepada MCA dengan menyatakan sokongan secara terangan kepada BN dan setiap kali program PH terutamanya DAP, kehadiran dan sokongan kaum Cina hambar dan begitu mengecewakan.

“Apakah benar keadaan di kalangan rakyat terutama kaum Cina telah berubah dan berpaling arah kepada BN serta mula menerima Muafakat Nasional?,” soal beliau.

Beliau turut berpendapat kaum Cina berkemungkinan mula sedar sokongan kepada DAP tidak memberikan faedah kepada mereka terutama untuk jangka panjang.

Jelasnya, masyarakat Cina yang rata-rata berpegang kepada janji manifesto PH sudah merasakan mereka tertipu dan DAP yang sebelum ini dianggap pembela kepada mereka mula tidak dipercayai kerana terpalit dengan pelbagai skandal.

Retorik DAP yang seolah memusuhi orang Melayu Islam seperti menyusahkan kaum Cina yang rata-ratanya terbabit dalam perniagaan seperti kempen Buy Muslim First (BMF) yang menjejaskan perniagaan mereka.

Kata beliau, dengan prospek semasa ekonomi yang hambar, apatah lagi ditadbir oleh pemimpin kanan DAP sebagai Menteri Kewangan, berkemungkinan besar faktor ekonomi memainkan peranan besar yang mengalihkan sokongan masyarakat Cina kepada BN.

“Benar calon PRK kali ini adalah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), tetapi jika kalah kali ini, DAP sebenarnya yang harus dipersalahkan kerana parti itu telah menjadi beban kepada PH.

“Undi di kalangan orang Melayu Islam dijangka tidak banyak berubah, begitu juga kaum India, namun ramai penganalisa melihat undi masyarakat Cina memainkan peranan penting kali ini.

“Kekalahan yang dijangka kepada calon PH kali ini bukan kerana kelemahan PPBM, tetapi kerana DAP yang dilihat sebagai ancaman oleh orang Melayu Islam dan juga beban oleh kaum Cina,” katanya.

Kekalahan PH, ujarnya bermakna penolakan jelas rakyat terutama kaum Cina terhadap DAP. – MalaysiaGazette