Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff bergambar kenangan bersama wakil penerima sumbangan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Program IQRA Tabumg Haji 2019 di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan sumbangan lebih RM5 juta kepada pelajar-pelajar berstatus asnaf yang sedang mengikut pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan program Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff, objektif utama Program Iqra’ TH adalah untuk memberikan bantuan pendidikan bagi menampung perbelanjaan pengajian pelajar asnaf untuk membayar yuran pengajian, pembiayaan asrama, dewan makan dan kos sara hidup.

Katanya, TH telah bekerjasama dengan Pusat Zakat dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti untuk menyerahkan sumbangan keseluruhan sebanyak RM4.5 juta kepada enam buah IPTA terpilih di sekitar Lembah Klang.

Sumbangan tersebut menurut beliau, mampu memberi manfaat kepada lebih 2,200 pelajar asnaf.

Selain itu, TH juga buat pertama kalinya bekerjasama dengan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPac) untuk memberi tajaan sebanyak RM454,032.90 kepada 10 pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda untuk menjalani program ACCA sepenuh masa.

Kesemua 10 pelajar tersebut datang daripada golongan asnaf, jelasnya.

“Kami mahu meringankan beban para pelajar asnaf yang berpotensi.

“Ini merupakan sebahagian daripada program zakat TH. Selain program Iqra’, kami juga mempunyai pelbagai tanggung jawab sosial korporat (CSR) lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan berkenaan.

Sejak 2012, lebih 30,000 pelajar asnaf mendapat manfaat daripada program tersebut dengan peruntukan sebanyak RM16 juta.

Program Iqra’ TH pada mulanya hanya tertumpu kepada pelajar sekolah rendah dan pada tahun ini, syarikat tersebut telah meluaskan sasarannya kepada pelajar asnaf yang mengikuti pengajian peringkat IPT di sekitar Lembah Klang. – MalaysiaGazette