Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Mana mana pihak yang mendapati wujud elemen rasuah semasa kehadiran pemimpin kerajaan dan menteri Kabinet kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai boleh mengemukakan aduan terus kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan perkara tersebut.

“Sekiranya seseorang itu berpendapat perkara itu tak betul,seharusnya mereka lapor polis dan SPRM.

“Kita punya kuasa penguatkuasaan sangat terhad dan terma berkaitan rasuah atau sebarang salah laku melibatkan kempen dikendalikan SPRM,” katanya kepada pemberita selepas memantau proses undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian hari ini.

Proses pengundian awal pagi ini menyaksikan seramai 280 pegawai dan anggota polis dari Dewan Undangan Negeri Pekan Nanas dan DUN Kukup termasuk 38 yang bertugas di luar kawasan mengundi awal hari ini.

Turut hadir Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar yang disambut Ketua Polis Darrah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh sekitar 10.30 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, selepas siasatan pihak yang berkenaan akan membawa kes tersebut ke mahkamah untuk menentukan wujud elemen rasuah atau sebaliknya.

“Dalam hal ini banyak faktor yang perlu diambil kira, dan SPR tidak boleh sewenang-wenangnya menentukan kalau perkara itu betul atau salah, sebenarnya lebih baik mahkamah yang menentukannya,

“Keputusan yang dibuat di mahkamah akan menjadi garis panduan mana yang salah atau mana yang tidak,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette