KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) akan melaksanakan penambahbaikan bagi memastikan usahawan tempatan terutama vendor Bumiputera diperkasa melalui program pembangunan kapasiti.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, Program Perkongsian Inovasi Vendor (VIP2) antara manifestasi MED dalam memperluaskan ekosistem Program Pembangunan Vendor (PPV).

“Bagi meningkatkan akses syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan vendor ke pasaran eksport, MED akan bekerjasama dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

“Mereka diberi akses pembiayaan konvensional dan alternatif, peningkatan produk secara rentas sektor serta memperkukuhkan rantaian bekalan menerusi dasar carve out PKS dalam perolehan kerajaan.

“Pengukuhan jalinan kerjasama dan penyertaan usahawan PKS adalah komponen penting di bawah Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 serta pemangkin hala tuju sebagai negara keusahawanan unggul menjelang 2030,” katanya berucap pada Malam Apresiasi VIP2 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, malam ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha MED, Datuk Wan Suraya Wan Radzi dan Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Celcom Axiata Berhad, Azlan Zainal Abidin selaku rakan strategik VIP2.

Pada majlis sama, Mohd Redzuan menyampaikan anugerah kepada 14 vendor Bumiputera yang dinobatkan sebagai Jaguh Nasional dan Jaguh Serantau di bawah PPV MED.

Anugerah itu bersempena dengan penganjuran program VIP2 yang telah diadakan sejak 12 hingga 13 November 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Selain trofi dan sijil penghargaan, jaguh-jaguh vendor turut dianugerahkan insentif program pembangunan kapasiti yang berprestij dan berimpak tinggi iaitu Kaizen Japan Study Tour bernilai RM94,000 bagi setiap syarikat.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan juga berkata, sebanyak 1,094 syarikat vendor berjaya mencapai nilai perolehan sebanyak RM5.312 billion pada 2018.

“Penganjuran VIP2 selama dua hari telah menyaksikan 405 syarikat vendor (81 peratus) merangkumi 270 sesi, 239 syarikat diterima sebagai vendor oleh syarikat-syarikat utama melalui 510 sesi padanan perniagaan,” katanya.

Beliau juga berkata, sebanyak enam syarikat utama berpotensi telah dikenal pasti dan akan memuktamadkan proses perlantikan pada hujung tahun ini.

“Antaranya PLUS Malaysia, Cement Industries (CIMA), UEM Sunrise, UEM Edgenta, Foresight Industries dan Tenggara Nasa.

“Syarikat-syarikat utama ini mensasarkan sebanyak 80 syarikat vendor baharu untuk dibangunkan,” katanya.

Katanya lagi, program dua hari itu turut disertai oleh lapan institusi kewangan termasuk Bank Rakyat, Exim Bank, Maybank, HSBC dan RHB.

Menurutnya, hasilnya sebanyak 110 permohonan pembiayaan telah diluluskan yang berjumlah RM730 juta.

Sepanjang dua hari penganjurannya, program VIP2 ini telah berjaya menarik kehadiran 5,000 orang pengunjung.

Pada Malam Apresiasi VIP2, MED turut menjalinkan kerjasama strategik dengan PUNB bagi program “Internationalisation of SME Products” dan Tenggara Nasa Sdn. Bhd. sebagai anchor baharu PPV serta Memorandum Persefahaman antara MED dan Malaysia Airlines Berhad. – MalaysiaGazette