Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hadir pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Kukup, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 14 NOVEMBER 2019.

KUKUP: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menempelak tindakan pembangkang yang melemparkan tuduhan melulu bahawa beliau telah menghina penjawat awam dan tidak membayar gaji mereka.

Beliau yang kesal dengan tindakan pembangkang meminta pihak yang membuat tuduhan itu supaya membuktikannya.

“Bila masa penjawat awam tidak dibayar gaji. Minta buktikan di mana saya cakap macam itu, tak boleh tunjuk yang saya sebenarnya telah menceritakan masalah kita hadapi bila jadi kerajaan Pusat

“Kita ada masalah, kita cakap benar kita akui dan atasi. Tak sampai ugut, sampai tak bayar gaji penjawat awam,” katanya pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan di Tapak Pasar Malam Kukup Laut yang dihadiri lebih 2,000 orang.

Turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Menteri Besar Johor, Datuk Dr.Sahruddin Jamal, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhyiddin Yassin, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.

Sebelum itu, dalam satu kenyataan, Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Mohd Puad Zarkashi mengecam Guan Eng yang didakwanya mencaci penjawat awam dalam bahasa Mandarin, membuktikan Menteri Kewangan itu berdendam, bermuslihat dan rasis.

Puad Zarkasi mendakwa dalam ceramahnya dua malam lalu bahawa Guan Eng mengutuk habis-habisan penjawat awam untuk meraih sokongan orang Cina

Sebagai tindak balas, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, beliau dan kerajaan PH tidak berdendam sebaliknya komited menjelaskan geran bernilai jutaan ringgit untuk membayar gaji penjawat awam negeri Kelantan supaya mereka tidak menjadi mangsa keadaan.

“Depan orang Cina, dia cakap lain, depan orang Melayu dia cakap lain, yang paling suka hentam Lim Guan Eng saja.

“Depan orang Cina (kata) saya anti Cina. Oh… bantai habis-habis.

“Depan orang Melayu, saya anti Melayu, anti Islam,” katanya,” katanya. – MalaysiaGazette