KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan meletakkan sasaran terlalu tinggi dalam usahanya membangunkan Kampung Baru, dengan harapan peratusan penduduk Melayu tinggal di Kuala Lumpur lebih seimbang.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beliau bukan tidak percaya, tetapi terkejut dengan pengharapan tinggi kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu yang begitu bersungguh-sungguh hendak membeli tanah Kampung Baru.
“Menteri (Khalid Abd Samad) kata, tujuan asal kewujudan Kampung Baru untuk menentukan jumlah orang Melayu di Kuala Lumpur munasabah. Sebab itu kerajaan PH hendak bangunkan dengan harapan penduduk Melayu dapat ditingkatkan sehingga 180,000 orang.
“Kenyataan ini sangat mengejutkan kerana sasaran ditetapkan terlalu tinggi berbanding bancian Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB) pada 2010 menunjukkan jumlah orang Melayu yang menetap di Kampung Baru hanya 18,372 orang.
“Saya minta Khalid jelaskan apakah mekanisme yang akan kementerian beliau gunakan bagi memastikan sasaran untuk meningkatkan jumlah penduduk Melayu di Kampung Baru menjadi 180,000 orang akan benar-benar dicapai,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.
Di Putrajaya Isnin lalu, Khalid dilaporkan berkata, tujuan kerajaan PH hendak membangunkan Kampung Baru adalah untuk mengekalkan matlamat asal kewujudan kampung itu, yang mana tanah anugerah itu diberikan untuk memastikan penduduk Melayu ada di Kuala Lumpur.
Katanya, untuk mencapai matlamat itu, dan menambahkan lagi bilangan kependudukan Melayu di Kuala Lumpur, mereka perlu bergerak ke depan dan kawasan berkenaan perlu dibangunkan mengikut aliran zaman.
Dr. Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, mahu menteri itu memberi jaminan bertulis bahawa pembangunan Kampung Baru tidak akan menjejaskan kepentingan orang Melayu, khususnya membabitkan kepentingan sosial dan ekonomi mereka.
Ini ujarnya, sangat penting kerana tidak ada satu pun peruntukan dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (Akta 733) yang memberi jaminan mutlak bahawa pembangunan kampung itu tidak akan menjejaskan kepentingan orang Melayu.
Kata beliau, apa yang ada dalam Akta 733 hanya penubuhan Majlis Penasihat untuk menasihati perbadanan mengenai perkara yang berhubungan dengan kepentingan orang Melayu di Kampung Baru dan apa-apa perkara lain yang dirujuk kepadanya oleh perbadanan.
Begitupun, katanya lagi, Seksyen 19 (3) Akta 733 tidak mewajibkan nasihat Majlis Penasihat diterima pakai oleh perbadanan, di mana apa yang diperuntukkan hanyalah nasihat ini “hendaklah diteliti, dikaji dan, jika bersesuaian, hendaklah diterima pakai oleh Perbadanan”.
“Bagi saya, kenyataan Khalid adalah tindakan terdesak beliau untuk memujuk orang Melayu di Kampung Baru supaya menjual tanah mereka kepada kerajaan setelah pelbagai usaha memujuk pemilik berbuat demikian menemui kegagalan.
“Paling mengejutkan apabila Khalid kini menggadai prinsip perjuangannya dengan menggunakan retorik Melayu, sedangkan beliau sebelum ini dikenali paling lantang mempertikaikan retorik Melayu, termasuk menyerang Kongres Maruah Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette