Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – UMNO menyeru pengundi Tanjung Piai memberi undi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng pada Sabtu ini.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, mereka sebenarnya mewakili seluruh rakyat Malaysia untuk memberi isyarat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal mentadbir negara.

“Tinggal satu hari sahaja lagi (hari berkempen), ayuh rakyat (pengundi) Tanjung Piai, anda mewakili rakyat seluruh negara. Jom, dengan tegas dan berani kita beramai-ramai tolak PH.

“Kita beri isyarat jelas, undi Dr. Wee Jeck Seng yang lebih muda, lebih berkelulusan, lebih berjasa, lebih mesra dan lebih berupaya bersuara,” katanya dalam ciapan Twitter beliau, hari ini.

Annuar mengingatkan pengundi, jika tidak ada emosi dalam membuat pilihan, mengenai calon mana hendak diberi undi, maka mereka mudah ditipu berulang kali oleh PH.

Namun, katanya, rakyat tidak sebodoh yang disangkakan PH, mereka akan meluaskan kuasa yang ada dengan menolak kepemimpinan kerajaan sekarang.

“PH mahu rakyat jangan emosi, apabila rakyat sudah tidak ada emosi, maka mudahlah mereka tipu berkali-kali dan kerajaan boleh terus menzalimi rakyat dengan menabur pelbagai janji kosong.

“Buktinya, mereka minta untuk terus memerintah selama lima tahun, iaitu satu penggal, tetapi sudah 18 bulan pelbagai kerosakan dilakukan dengan DAP semakin bermaharalela,” katanya.

Annuar turut meminta rakyat merenung kembali selama tempoh 18 bulan PH memerintah, sedikit demi sedikit kerosakan telah dilakukan oleh kerajaan menerusi lantikan golongan tidak profesional dari kalangan orang politik dan aktivis partisan untuk mengetuai beberapa agensi utama.

Mereka itu, kata beliau, menjadi boneka kepada kerajaan untuk melunaskan dendam pemimpin PH terhadap bekas kerajaan terdahulu, BN. – MalaysiaGazette