KAHERAH – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut berikutan sebuah saluran paip minyak terbakat di wilayah Beheira apabila pencuri cuba menyedut minyak daripadanya, kata para pegawai Mesir.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Ahmes Megahed berkata, kebakaran di daerah Itay el-Barud turut mencederakan sekurang-kurangnya 16 orang dan mereka dibawa ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan, lapor AP.

Pencuri yang menoreh saluran paip menyebabkan kebocoran dan minyak tumpah ke kawasan berhampiran, termasuk ke longkang, dan terbakar, kata Kementerian Petroleum Mesir.

Rakaman video yang disiarkan dalam talian menunjukkan api menjulang ke udara dan orang ramai cuba memadamkannya. Rakaman lain memaparkan orang ramai cuba mengambil minyak yang tumpah itu sebelum kebakaran berlaku.

Pihak berkuasa berkata, anggota bomba mengambil masa sekurang-kurangnya tiga jam untuk memadamkan kebakaran yang telah merosakkan berpuluh-puluh kenderaan di kawasan tersebut.

Polis menahan seorang suspek kerana disyaki cuba menyedut minyak daripada saluran paip itu, kata Gabenor Beheira, Hisham Amna kepada rangkaian televisyen.

Saluran paip itu menghubungkan Alexandria dan Kaherah. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast