Timbalan Presiden Amanah Negara merangkap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berucap pada Ceramah Kelompok Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Bilik Gerakan PDM Penerok, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2019.

PEKAN NANAS – Pakatan Harapan meminta maaf sekiranya melakukan kesilapan selama setahun lapan bulan pentadbiran ini.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata PH berjanji tidak akan mengulangi kesilapan besar yang dilakukan kerajaan terdahulu Barisan Nasional(BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya minta maaf sekiranya selama setahun lapan bulan ini kami telah membuat sebarang kesalahan sepanjang pentadbiran kami tapi berjanji tidak akan melakukan kesalahan yang dibuat BN kepada rakyat sebelum ini.

“Kalau Salahuddin Ayub jadi menteri korup jangan sokong PH walaupun saya orang Melayu Islam rakyat beri mandat kalau saya salah jangan sokong saya.

”Kita di sini bukan mahu cakap bahawa saya Melayu, Cina atau India. Tapi kita tidak akan melakukan kesilapan seperti Najib lakukan sebelum ini dan sekali lagi kerajaan PH minta maaf kalau kita menyakiti hati anda semua.

“Berikan kami peluang kerana berjaya membuktikan dari perdana menteri, timbalan perdana menteri dan semua menteri menteri bukan pemimpin yang makan rasuah tapi bersih dari rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah Pakatan Harapan di Taman Utama di hadapan hampir 1,000 pengundi dan masyarakat Cina malam tadi dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai menjelang hari mengundi 16 November ini.

Turut hadir Pengerusi DAP Perak merangkap Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai menyeru pengundi Tanjung Piai supaya tidak memberi kemenangan Kepada BN kerana parti pembangkang itu akan kembali memerintah dan harta dan negara tidak akan selamat.

Beliau menasihati masyarakat tempatan supaya tidak sesekali membuat kesilapan membenarkan BN menang dan kembali memerintah. Najib kini dituduh di mahkamah dan menunggu hukuman dijatuhkan.

“Kasihanilah kami, wang negara telah dirompak kerajaan BN tapi kami sedang berusaha kembalikan wang memulihkan negara.

“ Kita bukan tidak suka dengan Wee Jeck Seng sebab dia Cina, kalau dia Melayu pun kita akan tolak dia sebab BN tidak boleh dibenarkan memerintah negara.

“Jangan izinkan BN kembali kerana dialah kita susah pada hari ini kerana BN kita tidak boleh berniaga kerana dia merompak negara, tetapi kami jaga wang negara yang juga wang rakyat dengan baik sekarang ini,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kami mahukan Pentadbiran yg cekap dan wibawa…kalau bebas rasuah pun tapi tgk dekat Tg Piai ini byk juga unsur rasuah yg PH buat selain fitnah…Ingatlah peminpin Islam dlm PH memfitnah tu ibarat memakan daging saudara muslim kamu…tak ingat nak mati ke ? atau fikir macam atuk juga panjang umur tu pun kalau sempat taubat…

Comments are closed.