Ribuan penyokong yang hadir pada Himpunan Penyatuan Ummah Muafakat Nasional sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Kampung Sawah, Pekan Nanas, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 14 NOVEMBER 2019.

PEKAN NANAS – Meletakkan calon MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng untuk mewakili Barisan Nasional(BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai boleh dianggap ujian besar kepada UMNO dan Pas dalam usaha memenangi pilihan raya di kawasan campuran.

Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak berkata, ketika ini, gabungan UMNO dan BN menerusi Muafakat Nasional dikatakan hanya boleh memenangi pilihan raya di kawasan majoriti Melayu seperti di Pahang, Kedah dan Terengganu.

Beliau berkata, terdapat pihak tertentu yang menyifatkan peluang Muafakat Nasional untuk memenangi kawasan campuran seperti Parlimen Tanjung Piai yang mempunyai 42 peratus pengundi masyarakat Cina hampir tiada.

“Sebab itu kemenangan Jeck Seng pada PRK kali ini amat penting kerana ianya boleh menjadi ujian besar kepada Pas dan UMNO yang selama ini dianggap tidak boleh memenangi kawasan campuran.

“Kita kena buktikan melalui kemenangan Muafakat Nasional ini.

“Ia menunjukkan kerjasama Muafakat Nasional mencakupi kepentingan semua rakyat yang lebih besar daripada mendapatkan kemenangan umat Islam semata-mata.

“Kita boleh menang di Parlimen Tanjung Piai. Jangan kita fikir kepentingan umat Islam semata-mata, sebaliknya kita kena ada matlamat lebih besar untuk menunjukkan agama Islam sebagai agama universal yang Turut dihormati umat bukan Islam.

“Jadikan PRK Parlimen Tanjung Piai bukan sebarangan PRK, bukan pilihan raya memenangkan MCA atau BN, tetapi kemenangan Muafakat Nasional dengan agama Islam sebagai agama teras,” katanya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Himpunan Penyatuan Ummah Muafakat Nasional sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Kampung Sawah, Pekan Nanas, Johor. foto AFFAN FAUZI, 14 NOVEMBER 2019.

Najib berkata demikian ketika berceramah pada majlis Himpunan Penyatuan Ummah Muafakat Nasional dan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor di Pekan Nanas, di sini malam ini.

Hadir sama memberikan ceramah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dihadiri lebih 10,000 hadirin.

Dalam pada itu, Najib turut membidas tindakan media pro kerajaan apabila mendakwa Jeck Seng mengeluarkan kenyataan menentang tulisan jawi menerusi catatan dalam laman sosial peribadinya yang berbahasa Mandarin.

Beliau berkata, pihaknya sudah meneliti terjemahan kenyataan itu dan mendapati Jeck Seng tidak pernah menentang tulisan jawi sebagai mana didakwa.

Tambah beliau, Jeck Seng dalam kenyataannya menjelaskan tulisan khat sama dengan kaligrafi lain dan mana-mana sekolah bebas jika hendak mempelajarinya.

“Ada portal memutar belit kenyataan Jeck Seng kononnya Jeck Seng menentang tulisan jawi.

“Saya sudah semak dan Jeck Seng tidak pernah menentang tulisan Jawi. Jeck Seng menganggap tulisan khat Jawi sama dengan kaligrafi lain, di mana pelajar sekolah bebas untuk mempelajarinya.

“Jangan termakan dengan putar belit pihak tertentu, jangan termakan hasutan pihak kerajaan kerana pencalonan Jeck Seng boleh menjadi ujian besar Pas dan UMNO dalam inisiatif memenangi kawasan campuran,” tegasnya. – MalaysiaGazette