Mohd Shah Abdullah

KEDINGINAN cuaca di Hotel Cipaku Garden, Bandung menambah kesegaran pesona, merangsang suasana persekitaran segar yang penuh dengan sentuhan flaura dan fona.

Sebaik menjejak kaki di lobi hotel, pemandangan tenteram itu segera beralih kepada fokus untuk menghadiri “Persidangan Antarabangsa Pandangan Alam dan Peradaban: Rekonstruksi Peradaban Melalui Pengukuhan Pandangan Alam Islam.”

Dianggarkan 150 peserta sudah bersedia memenuhi dewan persidangan untuk tempoh tiga hari bermula dari 8 hingga 10 November lalu.

Kehadiran murid-murid dan penyokong tegar tokoh sarjana ulung, Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas seperti Profesor Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, Prof. Dr. Muhammad Zaini Uthman, Dr. Adian Husaini, Profesor Madya Dr. Khalif Muammar, Profesor Madya Dr. Ahmad Bazli Shafie dan Dr. Salina Ahmad serta ramai lagi barisan ilmuan yang hadir menandakan sambutan hangat terhadap persidangan tersebut. Ia menghimpunkan sarjana, ilmuan, pelajar dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Sebagai peserta, penulis mengakui persidangan itu menghidangkan tema, wacana dan perbincangan yang berat. Namun, itulah sifat dan kapasiti sesebuah universiti.

Memugar dan melagang wacana yang serius, fokus dan terarah. Apa lagi, bila menyebut sahaja nama Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, fikiran jelas terarah kepada sosok keperibadian seorang sarjana, ahli falsafah dan pemikir ulung yang telah menulis puluhan buku, ratusan makalah dan malahan mencipta teori ilmu yang sukar disanggah.

Peserta Persidangan Antarabangsa Pandangan Alam dan Peradaban tekun mendengar syarahan dari ahli panel.

Nyata inisiatif Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia (RZS-CASIS UTM) amatlah berbaloi bagi meneruskan legasi dan tradisi pemikiran, ilmu serta falsafah yang digagaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Dr. Khalif Muammar dalam kata sambutan majlis pembukaan persidangan tersebut, malah menyebut bahawa kelompok pemikir, ilmuan dan murid yang menyertai gagasan pemikiran tokoh ilmuan tersebut digelar sebagai Attasian.

Namun, jangan pula disalah mengertikan bahawa mereka taksub dan memuja peribadi tokoh tersebut secara berlebihan, melainkan berkali-kali ditegaskan bahawa kelompok Attasian mahu menyerap sebanyak mungkin ilmu, memuliakan adab dan membangun kembali sebuah peradaban mengikut kerangka pandangan Islam sebenar.

Begitulah Prof. Wan Mohd Nor menegaskan betapa dalam kita menyorot kemajuan ledakan tamadun Islam dengan menisbahkan kepada kejayaan di sekitar zaman Abbasiyyah, Uthamiyyah dan Andalusia bahawa tapak asas dan kejayaan sebenar sebuah peradaban Islam sebenar diasaskan sendiri oleh Nabi Muhammad s.a.w. di kota Madinah al-Munawarrah.

“Inilah zaman sebenar kejayaan tamadun dan kegembiraan ummah,” demikian kata Prof. Wan Mohd Nor.

Prof. Wan Mohd Nor dikenali sebagai anak didik dan akrab dengan Prof. Syed Muhammad Naquib nyata begitu komited dan cekal untuk meneruskan cita-cita, falsafah dan gagasan pemikiran tokoh ilmuan ini.

Seperti diungkapkan di dalam ucapan dasar persidangan tersebut, beliau menyebut betapa gurunya itu mahu terus menulis, berkarya dan menerbitkan buah fikirannya sekali pun mungkin tiada sesiapa lagi yang mahu membaca karyanya.

“Kita yakin akan menang kerana kebenaran sejarah telah membuktikan. Kalau anda pesimis, anda akan diserang penyakit Iblis,” demikian itu petikan pandangan Prof. Wan Mohd Nor bagi menggambarkan tekad dan keyakinannya untuk meneruskan cita-cita Islamisasi Ilmu dan membina sebuah peradaban agung di alam Melayu ini.

Aspek adab kerap kali dan berulang kali disinggung di dalam perbahasan pesidangan tersebut. Manakala setiap pembentangan panel melibatkan sekumpulan pemikir dan sarjana mengikut kepakaran masing-masing tidaklah terlepas daripada mengutip idea dan pemikiran al-Attas.

Begitu kuat sekali pengaruh, tujahan dan dampak pemikiran al-Attas terhadap murid dan pendokong tegar beliau.

Begitu pun, penulis turut tertarik kepada perbahasan yang dilontarkan Dr. Adian Husaini, Pengarah Kolej Attaqwa Depok yang juga Ketua Program Doktor Pendidikan Islam, Universiti Ibnu Khaldun, Bogor yang membincangkan tajuk “Universiti Unggul di Era Disrupsi.”

Hujahan beliau yang melihat peranan universiti moden kini ibarat manusia tanpa keperibadian. Malahan, dapatan kajian menunjukkan di Indonesia sendiri golongan mahasiswa menghadapi masalah kejiwaan yang tinggi dan terlibat di dalam gejala bunuh diri!

“Jika kelompok paling terpelajar di negara kita (Indonesia) mengalami gangguan jiwa boleh dibayangkan bagaimana keadaan bangsa kita ke depan,” kata Dr. Adian Husaini yang pernah belajar di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Kuala Lumpur.

Ruang perbahasan dan wacana sepanjang tiga hari itu padat, jitu dan menuntut peserta untuk terus mengkaji, meneliti dan menelaah karya-karya besar Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan malahan juga Prof. Dr. Wan Mohd Nor serta murid-murid beliau yang lain.

Hanya sekelumit sahaja monolog yang terus menerawang di gerbang fikiran saya, “Adakah idea-idea besar al-Attas ini sudah mengakar dan berkembang kuat di tanah air Malaysia. Sudahkah ia berada di dalam wacana pemikiran arus perdana negara.”

(Penulis, Mohd Shah Abdullah adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Komunikasi Manipal International University (MIU), Nilai, hadir sebagai peserta di Persidangan Antarabangsa Pandangan Alam & Peradaban, Hotel Cipaku Garden, Bandung dari 8 hingga 10 November). – MalaysiaGazette

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.