KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) yang diketuai DAP berada dalam keadaan yang sangat terdesak apabila memainkan semula klip video Wan Muhammad Azri Wan Deris berhubung penarikan hak mengundi kaum Cina dan India.
Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang lebih dikenali sebagai Papagomo itu, beliau ditahan polis dan direman selama empat hari berikutan penyebaran video berkenaan tidak lama dahulu.
“Hari ini DAP mengeluarkan semula klip video berkenaan dengan cubaan mereka untuk menghasut pengundi Cina dan India agar menolak Barisan Nasional (BN) pada PRK Tanjung Piai esok.
“Saya hendak ingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia, apa yang saya cakap itu saya maksudkankita lawan dan kita perang puak DAP, Cina DAP dan bangsa DAP. Dalam DAP ini ada Cina, Melayu dan India.
“Sedangkan, MCA adalah sahabat kita. MCA ini brotherhood kita, (begitu juga) MIC pun brotherhood kita. Yang kita lawan adalah DAP,” katanya menjawab isu klip video beliau yang diviralkan di medium sosial oleh DAP sejak hari ini.
Dalam percakapan langsung menerusi Facebook itu, Papagomo dilaporkan telah menzahirkan hasratnya untuk menarik hak mengundi kaum Cina dan India sekiranya penyatuan ummah menjadi kenyataan.
Klip video itu turut mendapat perhatian Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Wan Muhammad Azri apabila memuatnaik rakaman yang bersifat rasis terhadap kaum Cina dan India.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, rakaman yang tersebar jelas menunjukkan Wan Muhammad Azri bercakap perkara yang telah menghiris hati kaum berkenaan serta boleh menimbulkan ketegangan.
Menurut Wan Muhammad Azri, beliau konsisten rakyat nampak dengan jelas apa yang dikatakan itu dituju kepada kaum etnik dalam DAP, bukan keseluruhan orang Cina dan India yang ada di negara ini.
“Saya rasa semua nampak, semua jelas yang rasis, yang perkauman, yang biadab dan yang kurang ajar adalah DAP.
“Sebab itulah di Tanjung Piai ini, mereka menggunakan klip video lama saya untuk menghasut pengundi Cina tidak mengundi calon BN (Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng).
“Saya nak ingatkan kepada pengundi Tanjung Piai, yang menjadi masalah besar ialah ketidakcekapan pentadbiran kerajaan PH. Menteri Kewangan dari DAP contohnya, gagal mentadbir urus ekonomi negara dengan baik,” tegasnya.
Kata beliau, disebabkan kegagalan itu, selain tidak dapat menunaikan janji manifestonya, mereka cuba menanamkan dalam kepala rakyat dengan mainan isu perkauman.
Beliau turut mendedahkan dalam kempen PH malam tadi, pemimpin DAP mengedarkan risalah “Kempen Beli Produk Islam”.
“Ini adalah permainan rasis DAP. Mereka main isu perkauman supaya kaum Cina menolak BN.
“Selama lebih 60 tahun BN memerintah, negara berada dalam keadaan aman, orang Melayu, Cina, India hidup harmoni. Masyarakat Cina ketika itu diwakili oleh MCA, bukan DAP. Mereka menerima baik Perlembagaan Negara.
“Saya selalu nyatakan, saya sokong MCA sebab parti ini menghormati apa yang termaktub dalam perlembagaan seperti Islam agama persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu bahasa rasmi kebangsaan,” kata beliau,
Katanya, semua yang termaktub dalam perlembagaan diterima sepenuhnya oleh MCA sehingga negara mencapai kemerdekaan.
Ini tegasnya, berbeza dengan puak DAP yang tidak mengiktiraf apa yang termaktub dalam perlembagaan.
Sebab itu, kata beliau, DAP kini dalam ketakutan kerana gelombang rakyat di Tanjung Piai ketika ini telah menolak PH.
“Bukan saja orang Melayu, pengundi Cina yang terkesan dengan kejatuhan ekonomi dan hidup sengsara pun menolak DAP dan PH.
“Kalau kita lihat, ceramah yang dihadiri Guan Eng di sini pun, tidak ramai kaum Cina hadir, sebab mereka terkesan dengan apa yang berlaku selama satu setengah tahun PH memerintah,” katanya. – MalaysiaGazette
Ini nama nya serangan siber di pihak masing2. apa nak dihairankan. kan mereka diberi upah hingga ratusan ribu ringgit untuk perang urat saraf masing2. hanya rakyat yg bijak sahaja yg dapat menilai.