Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan sesuatu kepada Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal (kanan) selepas mengadakan mesyuarat khas mengenai kekalahan Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Bilik Gerakan Utama Kampung Rambah, Johor. foto AFFAN FAUZI, 16 NOVEMBER 2019

PONTIAN – “Kita akan keluarkan kenyataan”.

Itu jawapan ringkas Timbalan Presiden Pakatan Harapan ketika dikerumuni wartawan untuk mendapatkan reaksi ekoran kekalahan PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai malam ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengisytiharkan calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng memenangi PRK selepas menewaskan calon PH, Karmaine Sardini dengan majoriti 15,086 undi.

Terdahulu, Muhyiddin keluar dari bilik mesyuarat khas dengan Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Karmaine Sardini beserta beberapa pemimpin Bersatu memantau proses penjumlahan undi di Bilik Gerakan Utama PH di Rambah.

Mereka kemudian berpelukan sebelum berpisah.

Sahruddin yang mengetuai jentera Pilihan Raya PH negeri Johor ketika didekati wartawan dan diminta memberi komen mengenai keputusan luar jangkaan itu, beliau secara ringkas meminta merujuk kepada Muhyiddin.

Kemudian Muhyiddin muncul menuju ke kereta Vellfire putih, sebelum diserbu wartawan untuk mendapatkan reaksinya.

Bagaimanapun dengan nada tenang dengan sedikit senyuman, beliau memaklumkan kenyataan media akan dikeluarkan selepas ini.

“Kita akan keluarkan kenyataan,” kata Menteri Dalam Negeri itu sekali lagi sebelum meninggalkan tempat tersebut.

Turut berada di Bilik Gerakan Utama itu sebilangan kecil penyokongnya yang kelihatan suram, dipercayai masih terkejut dengan kekalahan Karmaine. – MalaysiaGazette