Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kemenangan pembangkang dalam PRK Tanjung Piai merupakan isyarat jelas kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya sedar sebenarnya mereka gagal dalam memerintah Malaysia dan rakyat tidak lagi termakan dengan harapan dan janji palsunya.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berkata, Tanjung Piai adalah satu referendum rakyat menolak PH apabila majoriti meningkat berkali-kali ganda jika dibandingkan dengan PRU-14 lalu.

Ini memberikan isyarat jelas bahawa persefahaman dan kerjasama Muafakat Nasional makin teguh antara UMNO dan Pas seterusnya Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Sejahtera.

Pengundi Pas menunjukkan setia kawan melalui Muafakat Nasional dan wala’ kepada arahan pimpinan tertinggi untuk mengundi BN hingga keseluruhan 2,962 undi mereka pada PRU-14 diberikan kepada MCA.

Shahir menambah, orang Melayu Tanjung Piai menolak politik rasis PH dengan memberikan undi mereka kepada calon bukan Melayu iaitu MCA.

“Orang Cina sudah beralih arah daripada PH dan mengundi BN setelah melihat kegagalan PH memerintah negara selama 18 bulan.

“Anak muda tidak lagi termakan dengan janji-janji manis pemuda Pakatan Harapan yang dicanang Ketua Pemuda Pakatan Harapan, YB Syed Saddiq sepanjang berkempen di Tanjung Piai. Jelas, anak muda mual dan muak dengan janji peluang pekerjaan yang menjadi harapan palsu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia berharap permuafakatan yang teguh antara blok pembangkang bakal menjadi gagasan pembangkang yang kuat demi menyuarakan denyut nadi rakyat Malaysia ke arah PRU-15 yang bakal menjadi referendum besar kepada Kerajaan PH bahawa rakyat menolak politik palsu. – MalaysiaGazette