Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub semasa hadir untuk membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di SK Serkat, Johor. foto AFFAN FAUZI, 16 NOVEMBER 2019.

KUKUP – Datuk Seri Salahuddin Ayub menyangkal tindakan pihak tertentu yang cuba memburukkan imej dan nama baiknya dengan menyebarkan fitnah dalam bentuk kain rentang mengutuk nelayan.

Menteri Pertanian Industri Asas Tani itu tidak menolak ia mungkin dilakukan oleh pihak musuh yang sengaja mahu mencari publisiti murahan pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai hari ini.

Diminta mengulas mengenai kain rentang yang di salah satu kawasan di DUN Kukup mempamerkan wajahnya dengan tulisan “Nelayan jangan jadi pemalas”, beliau menjawab:”Ya..? itu bukan saya, saya tak pernah mengeluarkan perkataan nelayan jangan jadi pemalas.

“Sejak saya masuk pejabat sehingga sekarang apa yang saya pernah cakap adalah nelayan petani dan penternak adalah wira negara dan tidak pernah kategorikan mereka sebagai pemalas.

“Mungkin yang buat itu adalah pihak musuh yang sengaja mahu mencari publisiti murahan pada hari mengundi ini,” katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan Terkat, Kukup.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Terkat hadir mengundi tepat 11.55 pagi tadi.

Ditanya mengenai perbezaan mengundi kali ini, Salahuddin berkata: “Dulu saya masih dalam pembangkang”.

Bagaimanapun, katanya, orang kampung ini masih memelihara perpaduan dan kesopanan walaupun berbeza ideologi politik.

“Dulu saya pernah bersama Pas dan kini dalam Parti Amanah Negara, tetapi saya sendiri merasakan perbezaan dari segi riak wajah bahasa badan dan penerimaan.

“Bila saya pergi ke rumah rumah ke seluruh Tanjung Piai memang berbeza, ada dalam kalangan makcik-makcik yang mencium saya, maka di situ saya dapat melihat perbezaan dulu dan sekarang sokongan penduduk dan saya rasa itu dapat diterjemahkan bagi pengundi yang keluar mengundi,” ujarnya. -MalaysiaGazette