Calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (tengah) meraikan kemenangan bersama penyokong selepas pada pengumuman keputusan bagi Pilihan Raya Kecil P. 165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian, Johor. foto SYAFIQ AMBAK, 16 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah membuat keputusan yang tepat apabila memilih Datuk Seri Wee Jeck Seng daripada parti MCA untuk menjadi calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, semangat mengekalkan musyawarah dan setia kawan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) telah mencetuskan kejayaan besar pada PRK kali ini.

“Ini satu semangat yang luar biasa dan saya nampak tidak kira parti apa dalam BN yang bertanding, rakyat akan terima.

“Itu semua kerana kita ada agenda iaitu mahu membantu rakyat dan memperjuangkan nasib mereka,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Sultan Ibrahim di sini sebentar tadi.

Sambil berseloroh, Ka Siong berkata, beliau kini mempunyai teman untuk bersarapan pagi dan makan tengahari di Parlimen.

Jeck Seng diumum sebagai pemenang bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu memperoleh 25,466 undi daripada 128 saluran undi sehingga penjumlahan tamat, malam ini.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Tanjung Piai Zulkifly Mohd Tahir di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Pontian, 9.15 malam tadi.

Keputusan rasmi itu menunjukkan Jeck Seng menewaskan pencabarnya iaitu calon PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Dengan kemenangan itu, Jeck Seng kini Ahli Parlimen Tanjung Piai, sekali gus merampas kembali jawatan pernah yang disandang bagi dua penggal sebelum ini.

Seramai 52,471 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung 21 September lalu.

Enam calon terbabit, calon PH dari Bersatu, Karmaine Sardini, 66; calon B) dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan calon (Gerakan), Wendy Subramaniam.

Turut bertanding Presiden Berjasa, Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock yang juga pengetua sebuah pusat tuisyen serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar. – MalaysiaGazette