Peguam, Siti Zabedah Kasim

KUALA LUMPUR – Peguam dan aktivis sosial, Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim hari ini menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa yang menjaga hal ehwal agama sebagai tidak mempunyai fungsi serta manfaat.

Malah, kata Siti Kassim, adalah lebih baik Mujahid menutup kedai dan meletak jawatan sahaja kerana pelbagai isu tidak dapat diselesaikan olehnya sehingga kini.

Siti Kassim yang menulis di laman Facebook miliknya sebentar tadi mendakwa, Mujahid telah gagal menegakkan Islam selama menjawat jawatan tersebut.

Aktivis tersebut juga mengecam Mujahid kerana telah memberikan wawancara yang langsung tidak meyakinkan kepada penyiar berita antarabangsa, BBC yang membincangkan hal ehwal Islam di negara ini.

Menteri ini sepatutnya bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam sebenarnya penuh dengan percanggahan dan seolah-olah tidak berkuasa untuk membuat perubahan sebenar bagi mengekang ekstremisme agama di Malaysia.

“Melalui temuramah itu, menteri ini tidak dapat memberikan walau satu contoh sama ada beliau atau kementeriannya berguna untuk membuat sebarang perubahan kepada mana-mana ekstremisme agama yang berlaku di Malaysia.

“Langsung tidak ada apa-apa. Kosong,” tulisnya.

Menyambung tulisannya, Siti Kassim mendakwa Mujahid juga  telah gagal menangani isu penceramah berkontroversi, Dr Zakir Naik yang mendapat status penduduk tetap di negara, yang padanya telah memburukkan lagi polarisasi kaum dan agama di antara kaum.

“Sebelum ini sememangnya Mujahid mengakui Zakir Naik telah memecahbelahkan dan tidak sesuai untuk Malaysia tetapi beliau tidak melakukan apa-apa dan memanggil Zakir Naik yang merupakan penyokong umat Islam menjadi pengganas sebagai inspirasi.

“PR yang telah diberikan itu boleh dibatalkan oleh kerajaan Persekutuan tetapi apa yang telah jadi? Apa yang telah Mujahid  lakukan selain daripada memanggil Zakir Naik sebagai inspirasi,” tegasnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa

Siti Kassim berterusan meluahkan rasa puas hati dalam isu berkaitan Sisters In Islam dan golongan LGBT di negara ini.

“Tidak sekali pun Mujahid membela Sisters in Islam, hanya sekadar pertemuan tanpa apa-apa tidak bermakna kamu membela mereka wahai ‘bodoh’ (doofus). Apakah yang telah kamu lakukan untuk membantu golongan LGBT di negara ini yang ditindas?

“Apa gunanya lebih sejuta bajet tambahan untuk kamu apabila banyak sangat yang kamu tidak dapat lakukan sehingga kini? Tolonglah letak jawatan, tutup kedai kerana kamu dan pekerja di bawah kamu hanya membuang duit kami pembayar cukai,” tegasnya. –MalaysiaGazette