PEKAN NANAS – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menerima sebarang aduan mengenai insiden serius sejak bermulanya tempoh mengundi yang bermula sejak pukul 8 pagi tadi.
Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, setakat ini proses pengundian berjalan lancar dan selepas 30 minit pusat mengundi dibuka sebanyak 13 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka.
“Suasana aman setakat pagi ini dan saya menyeru agar pengundi keluar awal untuk mengundi kerana Jabatan Kaji Cuaca meramalkan ribut petir berlaku pada sebelah petang. Saya harap mereka keluar awal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Yunos, Sulaiman di sini hari ini.
Azhar Azizan berkata, beliau tidak dapat menyimpulkan lebih awal peratusan keluar mengundi ekoran saluran empat dan lima yang dibuka untuk pengundi masih kurang menggalakkan setakat ini berbanding saluran satu dan dua yang dibuka untuk pengundi biasa warga emas.
Katanya, SPR menyediakan kemudahan kepada pengundi seperti buggy untuk membawa mereka yang tidak berkemampuan untuk berjalan masuk ke pusat pengundian.
Sementara itu, maklumat terbaru yang diterima daripada SPR setakat berita ini ditulis, jumlah peratusan keluar mengundi telah meningkat 25 peratus sehingga pukul 11 pagi. – MalaysiaGazette