Azizi Safar

KUALA LUMPUR – Kekalahan Pakatan Harapan (PH) secara berturut-turut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan terbaharu di Tanjung Piai isyarat jelas rakyat tidak berpuas hati dengan tindak tanduk kerajaan kini.

Bagaimanapun pada masa sama, pemerhati politik, Azizi Safar berkata, walaupun kekalahan demi kekalahan kerana rakyat sudah tidak berminat mengundi calon PH, itu tidak bermakna kerajaan ini sudah ditolak sepenuhnya.

Malah beliau percaya, rakyat juga belum lagi secara sepenuhnya sudah kembali menyokong Barisan Nasional (BN) juga.

“BN menang di PRK Semenyih, Cameron Highlands, Rantau dan terkini di Tanjung Piai.

“BN tidak bertanding di PRK Sandakan yang berlangsung pada Mei lalu, PBS yang bertanding dan kalah teruk juga.

“Apakah rakyat sudah secara total tolak Pakatan Harapan? Tidak.

“Apakah rakyat sudah kembali sokong BN? Tidak.

“BN juga menang besar di Tanjung Piai kerana rakyat menolak PH, jangan silap sembang,” tulis beliau.

Azizi yang juga merupakan ahli UMNO berkata, tidak ada satu keperluan mahupun riak untuk segera diminta dibubarkan Parlimen bagimemberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15.

“Tidak perlu sibuk nak minta dibubarkan Parlimen supaya boleh diadakan PRU15. Belum tentu BN boleh kembali jadi kerajaan jika PRU15 dalam masa terdekat,” katanya.

Jelas Azizi, banyak lagi kerja yang perlu dilakukan bukan sahaja untuk mengembalikan sokongan rakyat terhadap BN sebaliknya menguatkan semua komponen pada masa sama.

“Sabarlah sikit … buat kerja dulu. Banyak lagi yang perlu dilakukan terlebih dahulu, perjalanan masih lagi jauh.

“Nasib baik ada juga Ahli MT UMNO yang faham kemenangan besar BN dalam PRK di Tanjung Piai yang baru berlangsung kelmarin bukan kerana satu sokongan sebenar yang akan kekal terhadap BN,” tegasnya.

Berikutan reaksi kegembiraan melampau di pihak BN sehingga ada yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan ‘keterlaluan’, Azizi berkata, beliau lebih gemar membaca analisis pimpinan PH yang jauh lebih ‘jujur’ kerana mengaku kalah, rasional dan sedar diri. –MalaysiaGazette