KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri, Denes Kumar dan Dr. Vimala Perumal yang menjadi lambang kebanggaan kepada industri hiburan Tamil tempatan banyak mencipta kejutan serta sejarah yang membanggakan negara.

Untuk makluman, sejak tahun 2017 sehingga tahun ini, sebanyak 66 pencalonan bagi pelbagai anugerah dalam dan luar negara, sebanyak 13 anugerah serta pengiktirafan antarabangsa telah diberikan melalui filem-filem di hasilkan khasnya trilogi Passangge.

Selain itu, sebanyak 40 anugerah tempatan telah di menangi sejak dua tahun kebelakangan ini oleh Denes, Vimala dan filem-filem mereka juga dalam pelbagai kategori.

Terbaharu tahun ini, sekali lagi produksi milik mereka Veedu Production telah memenangi dua anugerah berprestij tinggi dalam Festival Filem Tamil Norway 2019 (NTTF) di Oslo.

Anugerah itu telah diberikan untuk filem Vedigundu Passangge pecah panggung yang juga merupakan filem pertama Tamil tempatan yang berjaya mengutip kutipan lebih RM1juta dalam beberapa minggu tayangan.

Kejayaan itu menjadikan Vedigundu Pasange sukar ditandingi  sekali gus memungkinkan mereka berdiri sama tinggi dengan filem arus perdana lain di Malaysia.

Kehebatan Vimala sebagai pengarah juga dilihat semakin diakui ramai dan dengan kemenangan silih berganti di dalam serta luar negara dan penonton sentiasa tertunggu-tunggu karya terbaru beliau untuk terus menghiburkan mereka dengan pelbagai genre filem.

Manakala Denes pastinya umum sudah tahu tentang bakat lakonannya yang mampu menambat hati sesiapa sahaja di layar perak dan juga dalam kehidupan seharian.

Kedua-dua pasangan itu ketika ini terus sibuk dalam menghasilkan dua buah filem yang mempunyai mesej mendalam dalam kehidupan seharian melalui Tamil School dan Gajen.

Baru-baru ini Vimala berkata kepada MalaysiaGazette, setiap pengiktirafan adalah milik setiap penggemar dan penyokong filem tempatan di negara ini.

“Golongan inilah yang sebenarnya terus menyemarakkan ‘api’ dalam diri saya dan Denes untuk berterusan menghasilkan yang terbaik. Pada saya ini bukan sahaja untuk tujuan komersil atau keuntungan semata-mata sebaliknya lebih daripada itu.

“Satu kepuasan yang sukar saya gambarkan. Seni ini sudah sebati dengan saya, pengiktifaran seperti ini adalah bukti sokongan serta penerimaan umum kepada karya kami.

“Pastinya kita tidak akan berhenti di sini sahaja sebaliknya terus membawa nama negara khasnya Tamil tempatan ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan, terima kasih kepada semua,” katanya.

Sementara itu menurut Denes, pengiktirafan serta anugerah sebenarnya satu dorongan untuk melakukan yang jauh lebih baik untuk keseluruhan industri Tamil tempatan selepas ini.

“Ini sudah semestinya kejayaan kita semua bahawa kita mampu melakukan sesuatu yang sebelum ini pada sangkaan hanya boleh dilakukan di arena antarabangsa.

“Kini semuanya sudah berubah tetapi tugas dan tanggungjawab kami kini sudah bertambah, apa yang diharapkan oleh umum di luar sudah meningkat dan kami perlu menyampaikan lebih daripada ini selepas ini,” ujarnya. –MalaysiaGazette

Vedigundu Pasangge ungguli anugerah CINEFEST 2019