KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menasihati anak buahnya agar tidak mengambil sikap mudah menjelang perlawanan menentang Indonesia pada kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa esok.
Ini kerana Indonesia bakal tampil berbeza berbanding perlawanan pertama di Stadium Gelora Bung Karno, 5 September lalu apabila dibarisi hampir separuh pemain baharu serta jurulatih sementara.
“Perlawanan malam esok bukan satu kelebihan buat Malaysia walaupun Indonesia dikatakan berdepan masalah sebelum ini.
“Saya rasa masalah mereka sudah selesai kerana pasukan itu dapat awal ke sini sejak minggu lalu untuk membuat persediaan rapi.
“Mereka mahu keputusan yang positif apabila hadir dengan barisan pasukan yang baharu.
“Jadi pemain negara tidak boleh ambil mudah dan perlu kekal bermotivasi tinggi untuk meraih tiga mata penting,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media menjelang perlawanan menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Turut hadir pemain pertahanan, Shahrul Saad.
Selepas mempamerkan prestasi hambar pasukan dalam kempen kelayakan kali ini, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) telah memecat jurulatih, Simon McMenemy dan melantik pembantunya, Yeyen Tumena.
Yeyen tidak membawa beberapa pemain bintang yang sebelum ini sentiasa membarisi kesebelasan utama seperti Evan Dimas, Stefano Lilipaly dan Alberto Goncalves.
Sebaliknya, Yeyen memanggil Lerby Eliandri, Greg Nwokolo dan Septian David Maulana bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh ketiga-tiga pemain itu.
Malaysia ketika ini menghuni tangga keempat dalam carta kumpulan G dengan enam mata manakala Indonesia masih kekal menduduki tangga tercorot tanpa sebarang mata.
Sementara itu, mengulas senario skuad Harimau Malaya yang berdepan krisis kecederaan dan penggantungan beberapa pemain, Cheng Hoe mengambil sikap positif.
Perkara berkenan tidak menggusarkan pengendali kelahiran Kedah itu yang masih percaya pemain sedia ada, mampu menggalas tugas terbaik sekiranya diturunkan beraksi berdepan Indonesia nanti.
Sementara itu, penyerang Muhammad Syafiq Ahmad dan pemain pertahanan kanan, Matthew Davies sah terlepas aksi menentang Indonesia, selepas masing-masing mengutip dua kad kuning dalam dua perlawanan menentang Vietnam dan Thailand.
Seorang lagi bek kanan, Muhammad Syahmi Safari pula mengalami masalah kecederaan pangkal paha ketika menentang Thailand pada Khamis lalu. – MalaysiaGazette