IPOH – Satu sindiket penipuan menerusi panggilan telefon hari ini ‘tersalah langkah’, apabila individu yang dihubunginya untuk dijadikan mangsa adalah seorang ketua polis daerah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP A. Asmadi Abdul Aziz yang terus menyedari bahawa panggilan yang diterimanya adalah panggilan ‘scam’, sempat merakam perbualan telefon itu untuk siasatan lanjut.

Menceritakan kejadian itu, katanya beliau menerima panggilan telefon daripada seorang wanita pada pukul 1.30 tengah hari semasa berada di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini, yang mengaku kononnya pegawai tadbir Bahagian Unit Semakan Saman di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Beliau berkata wanita itu meminta nombor kad pengenalannya kononnya untuk membuat semakan berkaitan kes saman.

“Saya sudah menyedari daripada awal panggilan telefon itu merupakan panggilan scam, sebab itu saya rakam perbualan itu. Saya akan buat laporan mengenai kejadian ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, A. Asmadi berkata 62 kes berkaitan penipuan scam dilaporkan di Ipoh sejak Januari hingga Oktober tahun ini berbanding 122 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Walaupun jumlah itu menunjukkan penurunan namun laporan berkaitan kes ini masih berleluasa, khususnya dari kalangan mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada suri rumah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya menahan tiga lelaki dan merampas dadah dipercayai ganja seberat 1.575 kilogram dianggar bernilai RM5,500 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Pinji Seni dekat sini, semalam.

A. Asmadi berkata kesemua suspek yang berusia antara 30 dan 35 tahun ditahan dalam serbuan pada kira-kira pukul 7.45 malam, dan hasil pemeriksaan, polis menemui ceraian daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA