KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia
(PDRM) merampas 58 kelengkapan komunikasi tidak diperakui dalam beberapa serbuan di 12 lokasi berbeza di Kuala Lumpur, Kedah, Perak dan Pulau Pinang antara bulan Julai hingga awal Oktober 2019.
Antara kelengkapan komunikasi yang telah dirampas adalah antena, signal booster dan repeater, sistem pemancar TV tanpa wayar dan penghantar AV, Kotak TV Android, walkie-talkie dan RF Repeater.
Semua barang rampasan telah disita oleh PDRM sebelum diserahkan kepada SKMM untuk tujuan analisis bagi membantu siasatan.
Kes-kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.
Ketegasan MCMC dalam membanteras pemilikan atau penjualan kelengkapan komunikasi tidak standard terserlah apabila sebanyak 19 kes membabitkan 66 pertuduhan telah dibawa ke muka pengadilan bagi tempoh antara Januari hingga September 2019 yang mana nilai denda dikenakan berjumlah RM432,000.
Sepanjang tahun 2018 pula, sebanyak 10 kes membabitkan 15 pertuduhan dibawa ke mahkamah. Kesemua pertuduhan disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM55,500.
“Usaha untuk membanteras penggunaan atau penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui yang giat dijalankan ketika ini oleh SKMM akan diperhebatkan lagi.
“Ini bermakna, lebih ramai yang terbabit sama ada memiliki ataupun menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui
akan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti-aktiviti sedemikian boleh membuat laporan atau aduan kepada SKMM bagi membolehkan siasatan dan tindakan susulan diambil.
Orang ramai juga diingatkan supaya hanya membeli dan menggunakan kelengkapan komunikasi yang memaparkan label SKMM sahaja. – MalaysiaGazette