Skuad Harimau Malaya semasa sesi latihan bagi menghadapi perlawanan menentang pasukan Indonesia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras,Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 17 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR- Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin telah meluangkan masa untuk bersarapan pagi dengan para pemain skuad Harimau Malaya hari ini.

Ia sempena menjelang aksi kelima Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Pada pertemuan itu, beliau sempat berpesan kepada para pemain iaitu tiga mata penuh perlu diraih bagi memastikan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe itu terus berada dalam persaingan merebut tempat ke pusingan seterusnya dan layak ke Piala Asia 2023.

“Saya melihat perlawanan malam ini cukup istimewa kerana kita boleh lihat, walaupun perlawanan pada hari bekerja (Selasa), tiket telah pun habis dijual pada Sabtu lalu.

Hamidin Mohd Amin.

“Para penyokong Harimau Malaya menganggap pertemuan dengan Indonesia ini satu pertembungan rival. Jadi, menjadi tanggungjawab para pemain untuk menterjemahkan kemenangan dan kejayaan pada aksi malam ini.

“Jangan kecewakan para penyokong kita yang hadir ke stadium. Tiada seri atau kalah hanya kemenangan kerana ia penting untuk imej dan moral pasukan untuk terus bersaing dalam Kumpulan G ini.

“Saya yakin para pemain memiliki kualiti untuk meneruskan momentum dan meraih kemenangan ketiga berturut bulan ini selepas kita berjaya menewaskan Tajikistan 1-0 dan Thailand 2-1.

“Apapun, jangan terlebih yakin kerana Indonesia walaupun telah kalah kesemua empat perlawanan sebelum ini, mereka juga pasti mahu mencipta kejutan,” katanya di laman Facebook FAM di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden FAM yang juga pengurus pasukan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan penolong pengurus pasukan, Datuk Posa Majais.

Hamidin turut menasihati para penyokong Harimau Malaya supaya menjaga tingkahlaku dan hanya fokus untuk memberikan sokongan padu kepada para pemain yang beraksi di atas padang tanpa sebarang provokasi kepada penyokong pasukan lawan demi memastikan kelancaran perlawanan malam ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.