Asmuni (tengah) mengetuai barisan Exco dan ADUN PH Perak menyatakan sokongan kepimpinan Menteri Besar
Asmuni Awi

IPOH – Barisan Exco kerajaan negeri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) di Perak hari ini memberi jaminan bahawa pentadbiran kerajaan negeri Perak masih kukuh dan tiada sebarang masalah untuk terus mentadbir negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Asmuni Awi berkata sejak akhir-akhir ini terlalu banyak khabar angin dan fitnah yang dilemparkan kepada pihak kerajaan negeri selain cubaan untuk mengganggu-gugat kestabilan pentadbiran kerajaan di bawah PH.

Asmuni berkata walaupun telah diperjelas beberapa kali sebelum ini, namun usaha-usaha untuk mencipta persepsi jahat kepada keutuhan kerajaan masih terus berlaku.

“Kebersamaan kami pada hari ini adalah bagi menzahirkan sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Menteri Besar Perak,” katanya yang mewakili barisan Exco kerajaan negeri serta ADUN-ADUN PH di bilik sidang media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Beliau berkata sidang media bersama semua wakil rakyat PH itu diadakan berikutan pelbagai isu berkaitan ketidakstabilan kerajaan negeri ditimbulkan oleh pelbagai pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya menyeru kepada semua pihak khususnya rakyat di Perak untuk mengabaikan segala tohmahan dan fitnah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan terus memberi kepercayaan kepada PH untuk menggalas amanah melaksanakan tugas dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

“Kami juga berjanji akan terus menjunjung mandat yang diberikan oleh rakyat Perak untuk memajukan negeri seterusnya membawa kemakmuran bersama yang diusahakan kerajaan,” katanya.

Baru-baru ini, tular video perbualan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai, Pontian yang mengaitkannya dengan isu ketidakstabilan kerajaan negeri ketika sesi perbahasan Belanjawan Negeri 2020 pada persidangan DUN yang sedang berlangsung.

Selain itu, turut tular video berdurasi lima minit memaparkan perbualan antara Naib Pengerusi DAP Perak Dr Abdul Aziz Bari dengan beberapa individu daripada PH kononnya mahu menggulingkan Ahmad Faizal.

Menurut Abdul Aziz, penularan video itu menunjukkan pihak tertentu sengaja melakukan provokasi menjelang persidangan DUN.

— BERNAMA