Kamaruddin Jaffar

KUALA LUMPUR – Pertemuan di kediaman rasmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama-sama lima Ahli Parlimen PKR dan 22 daripada Barisan Nasional (BN) malam tadi membincangkan tentang masa depan negara.

Menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar, wakil rakyat yang hadir diberi taklimat berkenaan Dasar Kemakmuran Bersama selain berbincang tentang pentingnya mereka menumpukan tugas pembangunan berbanding ‘politiking’ semata-mata.

“Tiada apa yang penting, yang kita bincangkan tentang masa depan negara, perlunya perpaduan negara, perlunya diredakan dan dikurangkan ‘politiking’ antara ahli politik dan menumpukan pembangunan dan kestabilan politik, masa depan negara.

“Dan juga dibincang atau diberi taklimat tentang Dasar Kemakmuran Bersama,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.

Kamaruddin yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan turut menafikan mereka membincangkan sokongan terhadap pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri untuk tempoh sepenggal.

Malam tadi, dilaporkan sekurang-kurangnya 22 wakil rakyat BN yang berkumpul di kediaman rasmi Azmin jam 9.30 malam.

Perjumpaan itu dikatakan berlangsung selama dua jam.

Sehingga kini Azmin yang merupakan Timbalan Presiden PKR masih belum membuka mulut tentang pertemuan itu.

Antara yang hadir semalam iaitu Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Yazid yang juga enggan mengulas perkara itu.

Selain Kamaruddin, turut dilihat hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Ahli Parlimen Maran, Cameron Highlands antara yang dilihat di kediaman Azmin

1 Komen

Comments are closed.