Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa yang menjadi saksi ke-4 pendakwaan perbicaraan pindaan Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membuat pendedahan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berpuas hati dengan laporan audit itu.

Ali Hamsa memberitahu mahkamah, bekas Perdana Menteri itu menyatakan rasa tidak puas hati dengan isi kandungan dalam laporan audit terbabit kepadanya.

Kata saksi itu, Najib tidak mahu dua dua penyata kewangan 1MDB yang berbeza dimasukkan dalam Laporan Pengauditan 1MDB.

Najib dikatakan memberitahu Ali Hamsa dalam pertemuan di Pejabat Perdana Menteri pada 22 Februari 2016, yang turut dihadiri oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang pada masa itu..

“Kami telah dipanggil untuk membincangkan mengenai Laporan Pengauditan 1MDB bagi pembentangan di Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Saya ingin jelaskan di sini, walapun saya merupakan Ahli Lembaga Penasihat 1MDB tetapi saya tidak pernah dipanggil bermesyuarat sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1MDB.

“Saya juga tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen berkaitan dengan peranan saya sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1MDB, dan tidak pernah terbabit dalam mana-mana proses di peringkat audit yang dibuat Jabatan Audit Negara.

“Selepas selesai perbincangan, saya diarahkan Najib untuk mengadakan mesyuarat penyelarasan di antara Jabatan Audit dan wakil 1MDB, Arul Kanda mengenai perkara yang beliau (Najib) tidak berpuas hati dalam Laporan Audit oleh Jabatan Audit Negara,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya sebentar tadi.

Menurutnya, dalam penyataan bertulis itu, beliau tidak pernah membaca Pengauditan 1MDB yang dimaksudkan oleh Najib pada masa itu.

“Saya juga telah diarahkan oleh beliau untuk tidak mencetak Laporan Pengauditan 1MDB sehingga mendapat persetujuan daripada Najib.

“Saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung dengan status Laporan Pengauditan 1MDB sudah dimuktamadkan atau belum,” dakwanya.

Ali Hamsa telah mula memegang jawatan KSN dari 2012 hingga Ogos 2018 lepas. –MalaysiaGazette