KUALA LUMPUR – Kumpulan yang didakwa sedang menggerakkan kempen undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan kelompok picisan yang tidak sealiran dengan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu langsung tidak berbangkit dalam kalangan parti-parti komponen PH terutamanya di peringkat kepimpinan utama parti.
Katanya, setiap hari beliau menghubungi pemimpin PH seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu), Mohamad Sabu (Amanah), Lim Guan Eng (DAP) serta Lim Kit Siang (DAP) dan tidak pernah ada mana-mana dalam kalangan pemimpin itu membangkitkan isu undi tidak percaya.
Ini kerana, tegas Anwar, hubungan antara mereka dalam kerjasama dan muafakat Pakatan Harapan sangat kuat.
“Yang bangkit undi tidak percaya itu puak yang nak buat undi (tidak percaya) sahaja.
“Yang tidak sokong itu hanya pinggiran, picisan yang tidak masuk dalam aliran PH,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen ketika ditanya mengenai dakwaan wujud gerakan menjatuhkan Dr Mahathir selepas Pakatan Harapan kalah teruk di Tanjung Piai.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, Dr Mahathir sebagai teraju Pakatan Harapan memandang serius kekalahan itu dan telah menetapkan satu mesyuarat khas untuk mengenal pasti punca PH tewas Sabtu ini.
“Tun M oleh kerana beliau anggap pukulan Tanjung Piai itu suatu yang berat, dia panggil sidang khas Pakatan Harapan Sabtu ini maknanya dia respon bukan tidak mengambil kira apa yang disampaikan rakyat,” tambahnya. – MalaysiaGazette