Kelihatan Bangunan Perdana Putra yang terjejas akibat jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 204 API yang dipaparkan di laman sesawang apims.doe.gov.my sekitar jam 6 petang ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di sekitar Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 16 SEPTEMBER 2019.

SINGAPURA – Malaysia dan Singapura bersetuju bekerjasama dalam melaksanakan kajian dan pembangunan (R&D) dalam bidang pencegahan kebakaran di tanah gambut bagi mencari penyelesaian menangani isu jerebu di rantau ini.

Persetujuan tersebut dicapai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia (MESTECC), Yeo Bee Yin dan rakan sejawatannya dari Singapura Masagos Zulkifli, sewaktu program Pertukaran Lawatan Tahunan (AEV) yang berlangsung dua hari berakhir 15 Nov lepas.

Singapura menjadi tuan rumah kepada AEV tahun ini, yang merupakan satu saluran bagi Kementerian Alam Sekitar kedua-dua negara membincangkan dan menangani isu alam sekitar.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan MESTECC, Yeo dan Masagos melahirkan kebimbangan mengenai jerebu rentas sempadan daripada kebakaran tanah dan hutan di rantau ini, yang menjejaskan rakyat Malaysia dan Singapura.

Kedua-dua menteri mengambil maklum mengenai perkembangan dilakukan Negara Anggota ASEAN dalam menangani pencemaran jerubu rentas sempadan, dan mengesa semua pihak untuk memperbaharui komitmen mereka dalam melaksanakan Perjanjian ASEAN berhubung Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP).

Selain Yeo, delegasi Malaysia disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) MESTECC, Dr Nagulendran Kangayatkarasu, pegawai kanan MESTECC, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi kerajaan yang lain.

Singapura disertai Setiausaha Tetap Albert Chua dan pegawai kanan dari Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura dan agensi kerajaan lain.

Sejak 1979, AEV memudahkan perhubungan dan kerjasama antara kedua Kementerian berkaitan isu alam sekitar, melalui komitmen jangka panjang dan penyelarasan tindakan.

Kedua-dua menteri juga berbincang mengenai bidang kerjasama baharu seperti perubahan iklim, pengurusan sisa termasuk plastik dan pembungkusan, ekonomi sekitar semula, pencemaran industri dan keselamatan radiasi serta bidang kerjasama lain yang bersesuaian.

Ketika AEV itu, menteri terbabit turut melihat semula kemajuan dicapai Jawatankuasa Bersama Alam Sekitar Malaysia-Singapura (MSJCE) yang bermesyuarat pada 14 Nov 2019.

Antara lain, mereka juga bertukar pandangan berkaitan kawalan pelepasan emisi kenderaan.

Menteri terbabit maklum mengenai kerjasama bilateral bagi mengurangkan pelepasan emisi merbahaya kenderaan, bagi mencapai tahap kualiti udara lebih baik di kedua-dua negara.

Mereka mengalakkan kedua-dua negara untuk terus bertukar informasi berkaitan polisi dan mengenalpasti amalan terbaik dalam mengawalnya.

Yeo turut melawat Pusat Penyelidikan Iklim Singapura yang menjalankan kajian kepelbagaian iklim tropika dan perubahannya dan sistem cuaca yang berkaitan di Singapura dan rantau ASEAN.

AEV tahun 2020 akan diadakan di Malaysia. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast