Pemain-pemain Malaysia meraikan kemenangan pada perlawanan Malaysia dan Indonesia pada kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berkesudahan 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mengucapkan tahniah kepada skuad kebangsaan yang menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi kelima Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Katanya, kemenangan itu membuka peluang buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk terus berada dalam persaingan merebut tempat ke pusingan seterusnya dan layak ke Piala Asia 2023.

Reaksi ketua jurulatih pasukan Malaysia, Tan Cheng Hoe pada perlawanan Malaysia dan Indonesia sempena kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 NOVEMBER 2019

“Tahniah juga diucapkan kepada seluruh barisan kejurulatihan, pengurus pasukan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan penolong pengurus pasukan, Dato Posa Majais bersama kapten pasukan, Aidil Zafuan Abd Radzak dan semua pemain,” katanya di laman Facebook FAM di sini hari ini.

Hamidin juga mengucapkan terima kasih kepada Ultras Malaya dan penyokong Harimau Malaya yang setia memberi semangat dan mendoakan skuad kebangsaan tidak kira di mana berada.

“Penyokong sememangnya mengharapkan kemenangan hari ini dan ia umpama penutup tirai terbaik 2019 dan hadiah buat rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Hamidin berkesempatan bertemu dengan Presiden Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI) yang baru dilantik, Jeneral Polis Mochammad Iriawan, di Stadium Nasional Bukit Jalil. – MalaysiaGazette