Datuk Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO menyifatkan pertemuan 17 Ahli Parlimen yang mengadakan pertemuan sulit dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah satu perkara yang tidak sewajarnya berlaku.

Menurut Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub, pihaknya kesal dengan apa yang dilakukan oleh wakil rakyat daripada UMNO itu dan alasan yang diberikan sangat kebudak-budakan.

“Alasan yang kononnya perjumpaan itu untuk membincang projek dikawasan parlimen masing-masing adalah kebudak-budakan dan melucukan.

“Kebiasaannya seorang wakil rakyat akan berjumpa seorang menteri dipejabat untuk berbincang hal projek dan bukannya diwaktu malam dirumah menteri didalam kumpulan yang besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai perjumpaan sulit 17 Ahli Parlimen UMNO yang berjumpa dengan Azmin di kediaman rasminya pada malam Isnin lalu.

Dalam pada itu, Mustapha berkata perjumpaan itu tidak harus diadakan yang akan mencerminkan bahawa UMNO masuk campur dalam kemelut Pakatan Harapan (PH).

“Melihat kepada situasi politik mutakhir ini, Veteran yakin perjumpaan itu ada kaitan dengan usaha untuk menyelamatkan Mahathir dari undi tidak percaya oleh Anwar.

“Veteran berpendapat wakil rakyat UMNO tidak sepatutnya terlibat dengan kemelut PH sebab itu adalah masalah mereka. Sebagai pembangkang mereka sewajarnya menjauhkan diri dari turut terheret dan menjadi alat kepada pihak yang sedang bertelagah dalam PH,” katanya lagi.

Oleh yang demikian, badan itu mendesak agar golongan itu berhenti mencipta isu dan menjejaskan reputasi UMNO.

“Veteran mendesak ‘pelakun-pelakun’ ini berhenti dari meneruskan ‘lakunan’ mereka yang boleh menjejaskan kredibiliti UMNO sebagai pembangkang yang berwibawa.

Mereka wajib mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) yang menetapkan sebarang tindakan yang melibatkan parti hendaklah dibuat secara ‘en bloc’ dan tidak secara berkumpulan,” ujar beliau.

Sebelum ini bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hisammuddin Tun Hussein didakwa menjadi dalang dalam perjumpaan itu.

“Dakwaan saya mengetuai pertemuan antara Mohamed Azmin dan Ahli Parlimen pembangkang malam tadi tidak benar sama sekali. Bukan saya yang rancang pertemuan itu.

“Namun, jika Lembaga Disiplin UMNO nak siasat, saya sedia disiasat. Tiada apa saya hendak sembunyikan,” katanya di Twitter menjelaskan keadaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sebelum ini mendakwa Ahli Parlimen Sembrong itu mengetuai pertemuan sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang di kediaman rasmi Azmin. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast