Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (dua kiri) mencium Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (dua kanan) tanda pendamaian berikutan salah faham antara mereka pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Nampaknya dua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang bertengkar di lobi Parlimen tengah hari tadi sudah pun berbaik semula.

Datuk Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Kuala Krau) kelihatan saling berpelukan sambil disaksikan oleh beberapa orang Ahli Parlimen BN yang lain dalam sebuah video yang tersebar petang ini.

Antara yang menyaksikan ‘sesi perdamaian’ itu Datuk Reezal Merican Naina Merican, Datuk Mahdzir Khalid, Tan Sri Noh Omar dan beberapa lagi.

Mereka juga kelihatan mesra apabila Tajuddin secara bergurau mencium pipi Ismail dan kemudiannya dibalas oleh Ismail sambil diikuti derai ketawa mereka yang menyaksikan detik itu.

Episod perdamaian itu juga berlarutan di lobi Parlimen apabila kedua-duanya saling berpegangan tangan dan diiringi sorakan oleh rakan yang lain termasuklah Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail selepas itu berkata pertengkaran di antara mereka yang seperti adik-beradik telah selesai.

“Kita adik-beradik, semua dalam satu keluarga. Punca? Dah selesailah (tak perlulah). Kita selesai dalam keluarga UMNO,” katanya ringkas tanpa mengulas lanjut.

Turut kelihatan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan),  Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau).

Reaksi ceria antara Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selepas berdamai di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 NOVEMBER 2019.

Sebelum persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan untuk berhenti rehat, kedua-dua Ahli Parlimen UMNO itu bertengkar, meninggikan suara sehingga ke satu peringkat Ismail mengatakan Tajuddin sebagai ‘orang tua yang bodoh’.

BACA: [VIDEO] Kecoh, dua ahi Parlimen BN bertengkar di lobi Dewan Rakyat

Insiden tesebut menarik perhatian pengamal media, dan pegawai kerajaan yang berada di lobi Parlimen ketika itu.

Ismail tidak berpuas hati kerana mendakwa Tajuddin itu menularkan gambar rakan-rakannya menziarahi anaknya yang sakit namun ditunjukkan seolah-oleh beliau ia sebuah pakatan untuk menyokong seorang pemimpin lain. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast