Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor mengesyorkan hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap pelaku jenayah seksualĀ  peningkatan permasalahan ini yang semakin serius dalam masyarakat.

Cadangan itu dikemukakan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi Lembaga Pengampunan Negeri Selangor selepas mendapati bilangan kes-kes yang dibawa kepada lembaga itu melibatkan kes jenayah seksual seperti rogol bawah umur dan sumbang mahram tinggi.

Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Selangor amat risau dan berdukacita dengan perkembangan kes-kes sedemikian kerana ia akan mendatangkan implikasi negatif serta mampu meruntuhkan institusi keluarga dan moral masyarakat di Negeri Selangor.

“Jenayah seksual yang semakin kritikal ini menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa yang terlibat yang sepatutnya dilindungi oleh pelaku.

“Jenayah seperti ini perlu dibanteras tanpa kompromi kerana ia boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat dan mewujudkan kebimbangan serta prasangka buruk terhadap keluarga yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu, Sultan Selangor memberi peringatan supaya semua rakyat hendaklah menjauhkan diri daripada terlibat dengan jenayah seksual ini dan hendaklah memelihara maruah ahli keluarga dengan baik dan memupuk sikap menghormati kaum wanita serta kanak-kanak.

Baginda menyeru semua pihak dapat meningkatkan usaha membendung jenayah seksual ini melalui pendidikan, penguatkuasaan undang-undang dan menekankan nilai-nilai agama.

Malah, mengikut ajaran agama Islam, mereka yang terlibat dalam melakukan jenayah seksual ini adalah berdosa besar

“Adalah menjadi hasrat dan harapan Sultan Selangor supaya rakyat dapat hidup aman tenteram dan bebas daripada ancaman jenayah seksual dalam Negeri Selangor ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.