Gambar hiasan

KUANTAN – Empat pengawal keselamatan tidak sempat berjoli dengan wang tunai RM600,000 yang mereka curi apabila ditahan kurang daripada 24 jam selepas melakukan perbuatan itu.

Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata, suspek berusia antara 29 hingga 51 tahun diberkas di kediaman mereka sekitar Raub dekat sini pada Jumaat lalu, manakala beg berisi wang tunai RM599,300 ditemukan di sebuah hotel di daerah itu.

Siasatan awal mendapati suspek menggunakan RM700 daripada wang tersebut untuk membayar sewa hotel itu untuk tujuh hari, bagi tujuan ‘tempoh bertenang’ dan turut meminta supaya bilik itu tidak dimasuki sesiapa termasuk pekerja pembersihan sepanjang tempoh tersebut.

“Mereka kemudiannya diarahkan untuk membawa semua beg itu ke ibu pejabat syarikat keselamatan itu di Kota Damansara, Selangor pada 7.30 petang hari yang sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK) di Kuantan, hari ini.

Abd Jalil berkata, juruaudit pusat pengurusan tunai syarikat keselamatan itu, bagaimanapun mendapati wang di dalam sebuah beg itu berkurangan semasa penyerahan dilakukan, menyebabkan wakil syarikat membuat laporan polis.

Katanya, siasatan mendapati suspek telah berkhidmat dengan syarikat keselamatan itu antara tiga bulan hingga lima tahun dan difahamkan sering diamanahkan untuk menghantar wang ke Kota Damansara.

Semua suspek kini ditahan reman sehingga esok (22 Nov) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Abd Jalil menasihatkan pihak syarikat keselamatan di Pahang untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan tiada kelonggaran yang boleh mengundang kelakuan jenayah. – MalaysiaGazette