Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Mujahid Yusof dan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didesak agar segera mengotakan janji untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara total berhubung pelbagai dakwaan salah laku dan penyelewengan Lembaga Tabung Haji (TH) semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, selepas 18 bulan PH memerintah, tiada satupun tangkapan, pendakwaan, mahupun laporan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan untuk menerangkan kepada rakyat mengenai kononnya wujud skandal salah laku di TH.

Walhal, ia adalah antara 10 Janji Utama Manifesto Buku Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Kekanda YB Menteri pernah mendakwa defisit RM4.1 bilion yang dialami TH sebelum ini tidak mewajarkan pengagihan hibah kepada pendeposit.

“Maka rakyat perlu diberi pencerahan lebih lanjut berhubung rasional penjualan aset-aset TH kepada syarikat milik MOF, Urusharta Jemaah Sdn Bhd sehingga RM17.3 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mempersoalkan apakah rasional penjualan aset-aset bernilai ini dan tidakkah penjualan itu dikira ‘bail-out’, menjual aset-aset bernilai RM17.3 bilion untuk menutup defisit RM4.1 bilion?.

Soalnya lagi, ke mana perginya baki RM13.2 billion yang diperolehi dari penjualan aset-aset ini?

Asyraf menambah, sekiranya benar wujud skandal salah laku dan penyelewengan dalam kalangan pengurusan TH terdahulu sebagaimana kuat dicanang-canangkan pimpinan PH, mengapa sehingga hari ini tiada sebarang tangkapan atau pendakwaan jenayah dibuat oleh pihak berkuasa kepada mana-mana individu terbabit.

“Ini hanya menyerlahkan pendustaan YB Menteri yang berkali-kali mendakwa pengurusan TH lepas menyalahi akta dengan membayar hibah yang besar kepada pendeposit.

“Semua ini hanya mengesahkan lagi tanggapan bahawa apa yang berlaku dalam tempoh PH memerintah adalah suatu sandiwara hebat bagi menutup kegagalan dasar ekonomi kerajaan pentadbiran PH sehingga menyebabkan nilaian aset-aset dan pegangan saham-saham utama TH seperti Hap Seng Plantations, Malakoff, UEM Sunrise, IJM dan lain-lain terjejas teruk, sekali gus merendahkan nilai aset TH berbanding liabiliti, hingga TH hanya mampu mengagihkan hibah terendah dalam sejarah iaitu 1.25 peratus!,” ujarnya lagi.

Justeru, kata beliau, Pergerakan Pemuda UMNO sekali lagi mendesak Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat segala dakwaan penyelewengan dalam TH sebagaimana janji PH segera ditubuhkan bagi mengembalikan keyakinan pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam terus terpelihara. – MalaysiaGazette