Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Produktiviti buruh Malaysia yang diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja, naik 2.6 peratus pada suku ketiga selepas mencatatkan 2.4 peratus pada suku sebelumnya.

Pada suku ini, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus (ST2 2019: 4.9%) manakala jam bekerja meningkat 1.7 peratus berbanding 2.4 peratus pada ST2 2019.

Sementara itu, produktiviti buruh yang digambarkan sebagai nisbah nilai ditambah kepada pekerja merekodkan pertumbuhan 2.3 peratus (ST2 2019: 2.8%) manakala pekerja kekal 2.1 peratus (ST2 2019: 2.1%).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan produktiviti buruh mengikut jam bekerja sebanyak 1.8 peratus (ST2 2019: 2.2%).

Nilai ditambah sektor ini meningkat 3.7 peratus (ST2 2019: 4.2%) manakala jam bekerja kekal 1.9 peratus (ST2 2019: 1.9%). Sementara itu, produktiviti buruh mengikut pekerja mencatatkan pertumbuhan 2.0 peratus (ST2 2019: 2.1%) apabila pekerja meningkat 1.7 peratus (ST2 2019: 2.0%).

Produktiviti buruh mengikut jam bekerja bagi sektor perlombongan dan pengkuarian terus jatuh dengan pertumbuhan negatif 3.4 peratus berbanding negatif 0.7 peratus pada suku sebelumnya.

Nilai ditambah sektor ini menguncup 4.3 peratus (ST2 2019: 2.9%) manakala jam bekerja jatuh 1.0 peratus (ST2 2019: 3.5%).

Mengukur produktiviti buruh berdasarkan nilai ditambah per pekerja, sektor ini merekodkan pertumbuhan negatif 5.4 peratus (ST2 2019: 1.4%) manakala pekerja meningkat 1.1 peratus (ST2 2019: 1.4%), katanya di sini.

Sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan produktiviti buruh mengikut jam bekerja sebanyak 2.9 peratus (ST2 2019: 2.5%).

Pada suku ini, nilai ditambah sektor ini meningkat 3.6 peratus selepas mencatatkan 4.3 peratus pada ST2 2019 manakala jam bekerja meningkat pada kadar lebih perlahan 0.8 peratus (ST2 2019: 1.8%).

Pertumbuhan produktiviti buruh tertinggi telah dicatatkan oleh peralatan pengangkutan, pembuatan lain & pembaikan (5.6%), diikuti oleh produk kayu, perabot, keluaran kertas & percetakan (5.2%) dan produk minuman & tembakau (4.2%).
Di samping itu, produk petroleum, kimia, getah & plastik yang menyumbang 29.5 peratus daripada nilai ditambah pembuatan berkembang 4.1 peratus (ST2 2019: 2.0%).

Sementara itu, produktiviti buruh mengikut pekerja tumbuh sederhana pada 1.6 peratus (ST2 2019: 2.4%) apabila pekerja meningkat 2.0 peratus (ST2 2019: 1.8%).

Pertumbuhan produktiviti buruh mengikut jam bekerja bagi sektor pembinaan adalah 1.6 peratus (ST2 2019: 3.3%).
Katanya, nilai ditambah sektor ini mencatatkan kejatuhan marginal 1.5 peratus (ST2 2019: 0.5%) manakala jam bekerja terus merekodkan pertumbuhan negatif bagi enam suku berturut-turut dengan mencatatkan pertumbuhan negatif 3.1 peratus (ST2 2019: -2.7%).

Dari segi produktiviti buruh mengikut pekerja, sektor ini merekodkan pertumbuhan 2.1 peratus (ST2 2019: 3.2%) apabila pekerja sektor ini terus jatuh kepada 3.5 peratus (ST2 2019: -2.6%).

Produktiviti buruh mengikut jam bekerja bagi sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 2.9 peratus pada ST3 2019 (ST2 2019: 2.5%).

Nilai ditambah sektor ini berkembang 5.9 peratus (ST2 2019: 6.1%) manakala jam bekerja meningkat 2.8 peratus (ST2 2019: 3.6%).

Pada suku ini, pertumbuhan tertinggi dicatatkan oleh hartanah & perkhidmatan perniagaan (5.8%).

Ini diikuti oleh pengangkutan & penyimpanan (3.9%), utiliti (3.3%) dan perdagangan borong & runcit (3.3%) sementara produktiviti buruh yang digambarkan sebagai nisbah nilai ditambah kepada pekerja tumbuh 2.7 peratus (ST2 2019: 3.0%) apabila pekerja meningkat 3.1 peratus (ST2 2019: 3.0%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast