zuhdi marzuki
Dr Mohd Zuhdi Marzuki

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya ada dua tokoh pemimpin yang dikatakan layak menggantikan tempat Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki.

Katanya, kedua-dua tokoh itu ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Jeli yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Beliau berkata, mengikut pengamatannya kedua pemimpin itu mempunyai pengalaman yang cukup lama dalam kabinet khususnya berkaitan dengan hal ehwal ekonomi dan kewangan.

Jelas Mohd Zuhdi, Kementerian Kewangan merupakan salah satu portfolio yang paling ketara kegagalannya menyebabkan ekonomi negara dalam keadaan tidak menentu dan kehidupan rakyat semakin tertekan.

“Sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad benar-benar mahu membaiki kelemahan ketara kerajaan Pakatan Harapan (PH), Guan Eng perlu ditukar segera.

“Tempatnya diganti oleh seseorang yang benar-benar berpengalaman dalam kabinet sebelum ini khususnya berkaitan dengan ekonomi dan kewangan, iaitu Anwar atau Mustafa yang dikenali sebagai Tok Pa,” katanya dipetik kenyataannya kepada Harakahdaily.

Mohd. Zuhdi menjelaskan, cadangan itu dikemukakannya berikutan Dr. Mahathir ada membayangkan akan membuat rombakan kabinet selepas PH kalah teruk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu lalu.

Sememangnya, ujar beliau, pihaknya mengalu-alukan pengumuman rombakan itu yang sekaligus Pengerusi PH mengakui kelemahan ketara kerajaan pimpinannya yang menjadi punca utama kekalahan itu.

Mengulas mengenai nama Mustafa yang dikatakan layak menggantikan Guan Eng, Dr. Mohd Zuhdi berkata, bekas Menteri Kewangan II itu sudah tentu akan berdepan kesukaran kerana mungkin dibantah oleh parti komponen PH.

“Ini kerana Mustapha baru saja menyertai PPBM dan tidak boleh diterima oleh kebanyakan pemimpin dari PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan PPBM sendiri.

“Maka calon yang boleh diletakkan harapan untuk mengganti Guan Eng ialah Anwar. Beliau pernah menerajui portfolio Menteri Kewangan ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

“Selain itu, Anwar juga mempunyai rangkaian hubungan luar yang baik sama ada dengan negara barat atau negara dunia Islam,” katanya.

Beliau menjelaskan, melihat kepada kepentingan negara dan rakyat yang perlu diutamakan, Mahathir perlu berlapang dada untuk menerima kemasukan Anwar ke dalam kabinetnya.

Pada masa sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson seharusnya melupakan hasratnya untuk mengambil alih jawatan perdana menteri dalam tempoh penggal Parlimen ini sehinggalah selepas PRU-15.

“Saya yakin hanya dengan tolak ansur seperti ini negara dan rakyat dapat diselamatkan dari terjerumus dalam krisis ekonomi dan tekanan sara hidup yang lebih teruk.

“Boleh jadi pandangan yang dikemukakan ini akan memperkuatkan semula kerajaan PH dan menyebabkan Muafakat Nasional menghadapi kesukaran untuk berhadapan dengan mereka dalam PRU ke-15 akan datang.

“Namun, sebagai sebuah blok kerjasama yang mendukung Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), kepentingan negara dan rakyat harus diutamakan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Iya, semua saki baki commies D4Pigs & penyokong2 pengganas2 LTTE wajib disingkirkan dgn segera, mereka adalah musuh negara, Raja2 dan orang2 Melayu, sudah lah duk kat Putarjaya atas hasil propaganda menipu, terlibat pula dgn menyokong ratifikasi ICERD & Statute Rome… Bagero!

Comments are closed.