Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man cuba memainkan sentimen apabila mencadangkan hanya beliau sahaja disingkirkan sebagai menteri Kabinet.

Ujarnya, permainan sentimen itu selaras pendirian Pas bahawa warganegara bukan Islam tidak layak menjadi menteri Kabinet yang menentukan dasar kerajaan khususnya bagi jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Ketua Menteri.

Kata beliau, Pas kini berani melaksanakan dasar dan sentimen sempit itu, selepas parti itu dan Barisan Nasional (BN) meraih sokongan kuat dari pengundi Cina dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu lalu.

“Saya hendak menjawab fitnah jahat Tuan Ibrahim bahawa saya gagal sebagai Menteri Kewangan kerana menurut beliau, daripada corak belanjawan negara, Pulau Pinang diperuntukkan RM10 bilion untuk pembangunan, tetapi hab halal hanya diperuntukkan RM10 juta.

“Dakwaan ini sungguh tidak bertanggungjawab kerana tidak berasas dan tidak benar.

“Sekiranya disemak isi kandungan Belanjawan 2020 dengan betul, peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi Pulau Pinang ialah RM979.5 juta, bukan RM10,000 juta, manakala program atau inisiatif berkaitan industri halal pula berjumlah RM125.2 juta, bukan RM10 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Tuan Ibrahim kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya Guan Eng menjadi yang pertama disingkirkan dalam rombakan kabinet kelak.

Menurut Setiausaha Agung DAP itu, Tuan Ibrahim juga turut mendakwa peruntukan yang diagihkan oleh Kementerian Kewangan tidak menunjukkan keseimbangan, terutamanya bagi peruntukan yang melibatkan negeri di Pantai Timur.

Katanya, dakwaan itu adalah fitnah jahat yang membelakangkan fakta kerana negeri di bawah pemerintahan Pas seperti Kelantan diperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion dan Terengganu sebanyak RM1.2 bilion, yang merupakan peruntukan perbelanjaan pembangunan yang lebih besar daripada Pulau Pinang.

“Sekiranya Tuan Ibrahim seorang yang beretika dan bermoral, beliau harus meminta maaf kerana membuat dakwaan palsu dan fitnah jahat sedemikian.

“Atau adakah pemimipin Pas berhak membuat fitnah jahat dan dakwaan palsu ke atas saya semata-mata kerana saya seorang bukan Islam yang tidak layak memegang jawatan Menteri Kewangan?,” soal beliau. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pas jangka Guan Eng digugurkan

1 Komen

  1. Haaa tokong penipu! Ko tak masukkan jaminan kerajaan Pusat lebih 40 billion kpd Penang utk projek LRT.. jgn kencinglah.. Kelantan, Terengganu & Sarawak lebih berhak daripa Penang sebab depa bagi ko duit minyak! Penang ada telaga minyak kah??

Comments are closed.