KUALA LUMPUR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mengumumkan cadangan penjajaran semula laluan dari Kota Bharu ke Dungun Isnin ini.

Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, dengan itu orang ramai boleh memberikan maklum balas dan cadangan bagi laluan berkenaan (yang dikenali sebagai Seksyen A) sepanjang tempoh tiga bulan Pemeriksaan Awam ECRL berlangsung.

Seksyen A merangkumi landasan utama sejauh 210.4 kilometer dilengkapi enam stesen.

Penjajaran semula Seksyen A mencadangkan dua stesen di Kelantan iaitu Kota Bharu dan Pasir Puteh manakala Terengganu bakal memiliki empat stesen yang terletak di Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Dungun.

Cadangan untuk membina cabang landasan (spur line) dijangka menghubungkan laluan utama ECRL di Kelantan dengan pelabuhan Tok Bali.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, cadangan penjajaran semula Seksyen A itu adalah sejajar dengan amalan penilaian kejuruteraan yang menyumbang kepada penjimatan kos kepada keseluruhan projek berkenaan.

Tambahnya, ECRL telah menerima kelulusan bersyarat daripada Skim Keretapi ECRL bagi Seksyen A daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 4 November lalu.

Reruai maklumat Pemeriksaan Awam untuk Seksyen A akan beroperasi pada setiap hari bekerja bermula 25 November ini sehingga 24 Februari depan di ibu pejabat APAD di Kuala Lumpur.- MalaysiaGazette