Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi (tengah) berbincang sesuatu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes pada Majlis Perasmian Pesawat Baru AirAsia di Sepang Aircraft Engineering (SAE), Sepang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 22 NOVEMBER 2019

SEPANG – AirAsia Bhd. menjangkakan pulangan dari segi pelaburan memiliki pesawat terbaharu Airbus A321neo dapat dilihat dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pesawat terbaharu itu memiliki lebih banyak kelebihan berbanding pesawat-pesawat lain antaranya peningkatan kapasiti sebanyak 27 peratus berbanding pesawat A320 (180 tempat duduk) di samping mempunyai penjimatan bahan api sebanyak 10 peratus.

Ini merupakan pesawat A321neo pertama yang beroperasi di Malaysia.

Sejak awal tahun ini, AirAsia telah menukar 253 tempahan untuk A320neo kepada versi A321neo yang lebih besar dengan jumlah 353 buah pesawat dalam pesanan, menjadikan AirAsia salah satu pelanggan terbesar di dunia bagi A321neo.

A321neo merupakan model terlaris daripada keluarga Airbus A320 yang menggabungkan teknologi terkini, seperti enjin generasi baharu dan Sharklets yang mampu menjimatkan penggunaan bahan api lebih daripada 10 peratus.

“Penukaran kesemua pesawat kepada yang baharu mungkin mengambil masa selama enam tahun bergantung kepada seberapa cepat Airbus menyiapkan tempahan dan seberapa cepat kami membuat bayaran kepada mereka,” katanya semasa sidang media selepas majlis menyambut ketibaan pesawat terbaharu itu di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Buat permulaan, pesawat yang baru tiba semalam dari Hamburg itu bakal beroperasi dari hab Kuala Lumpur ke bandar-bandar di seluruh Asia, dengan destinasi pertama termasuk Kuching, Kota Kinabalu, Singapura, Bangkok dan Shenzhen.

Menyentuh mengenai prestasi perniagaan pada tahun hadapan, Tony berkata, beliau positif dengan unjuran pada 2020.

“Tahun hadapan adalah tahun yang kukuh, kami sangat-sangat optimis,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pelan penyenaraian syarikat penerbangan tambang rendah itu di Filipina yang tertangguh, Tony berkata, mereka masih menantikan masa yang sesuai.

“Kami tidak mahu merendahkan nilai kami.

“Kami akan menanti sehingga mendapat satu penilaian yang adil,” ujarnya. – MalaysiaGazette