Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir pada Ucaptama Mahasiswa Dan Ilmuwan Memimpin Perpaduan sempena Seminar Kebangsaan Politik Sejahtera 2019 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Pas bukanlah parti oportunis yang hanya akan bersama-sama dengan pihak yang mempunyai kelebihan dan memiliki kemenangan.

Sebaliknya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, terdapat pertimbangan tertentu yang diambil parti itu dalam menubuhkan muafakat politik.

“Bukan sikap oportunis melihat pokok yang lebat buahnya, di situ kita mengambang, itu sikap yang salah. Bukan memilih siapa yang menang. Itu bukan caranya, ada caranya,” katanya ketika bercakap semasa perasmian Seminar Kebangsaan Politik Sejahtera 2019, dan berdiskusi dengan mahasiswa bertajuk Mahasiswa dan Ilmuan Memimpin Perpaduan di Auditorium Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (UM).

Beliau menyhatakan demikian ketika ditanya salah seorang mahasiswa UM, adakah Muafakat Nasional akan menerima Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika berjaya pada pilihan raya yang akan datang.

Bagaimanapun Hadi berkata, parti itu tidak pernah menutup pintu mana-mana pihak yang menyedari kesilapannya.

“Memang perjuangan kita suka pada (prinsip) dan suka bersatu dengan syarat betul-betul beramanah dan betul-betul bersatu, amanah ada ciri-cirinya, ada sifat-sifatnya ada pelaksanaannya itu akan dinilai dari semasa ke semasa.

“Bersatu juga macam konsep perpaduan kita. Kalau Allah buka pintu taubat kepada mereka yang beriman. Kita bukan Allah, tak akan kita tidak buka pintu keampunan kepada mereka yang buat salah,” tambahnya. – MalaysiaGazette.