Salahuddin Ayub
Dr Mohd Mazri Yahya.

KUALA LUMPUR – Pas mencadangkan penalti lebih berat kepada pemandu yang melakukan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mohd. Mazri Yahya berkata, langkah itu adalah bagi mengelak lebih ramai pengguna jalan raya yang tidak berdosa menjadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Kita percaya, salah satu sebab mengapa pemabuk masih lagi memandu dan membahayakan nyawa orang lain ialah kerana undang-undang sedia ada adalah terlalu ringan dan mereka tidak terkesan dengan penalti yang dikenakan.

“Peruntukan undang-undang sedia ada mengenai langgar mati iaitu Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ) yang membawa kepada hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan sebenarnya amat tidak memadai dalam menghukum pemandu yang tidak bertanggungjawab.

“Begitu juga dengan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk yang hanya membawa kepada denda antara RM1,000 dan RM6,000 dan atau penjara tidak lebih 12 bulan di bawah peruntukan Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd. Mazri yang juga Pengerusi Lajnah Kesihatan Pas Pusat berkata, itu adalah sebahagian insiden yang melibatkan pemandu mabuk di seluruh negara untuk beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, berapa ramai lagi rakyat yang tidak berdosa akan dikorbankan semata-mata untuk menjaga kepentingan pemandu mabuk terbabit.

“Justeru bagi kami, pemandu mabuk yang menyebabkan kematian adalah pembunuh yang berselindung di sebalik keringanan penalti undang-undang disebabkan mabuk mereka.

“Maka kami mencadangkan penalti yang lebih berat perlu diberikan kepada pemandu-pemandu mabuk tersebut.

“Kami juga bersetuju supaya penjualan alkohol secara terbuka perlu diharamkan. Malah, peniaga-peniaga dan pengusaha-pengusaha kelab malam perlu bertanggungjawab di dalam memastikan pelanggan mereka tidak memandu selepas mabuk,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.