Petronas

KUALA LUMPUR – Syarikat minyak nasional Malaysia, Petronas  meningkatkan usaha untuk mengukuhkan kedudukan perniagaannya di India dengan menyediakan penyelesaian yang lebih inovatif dan bersesuaian, yang menambah nilai kepada aspirasi tenaga negara.

Dengan lebih 20 tahun kerjasama strategik dalam enam segmen perniagaan di India, Petronas  terus menyokong aspirasi negara untuk berkembang secara mampan dengan memperluaskan sempadan kepakaran dan kemajuan teknologinya, katanya dalam kenyataan.

India telah berkembang dengan pesat, didorong oleh perbandaran yang pesat dan peningkatan kelas pertengahan. Menjelang 2030, India akan menjadi pusat kepada tujuh bandar raya mega dan menyaksikan permintaan yang tinggi terhadap tenaga dan barangan pengguna.

“Petronas  berada di landasan untuk membina ekosistem perniagaan yang berkesan di India untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami dalam pasaran penting ini,” kata Pengerusi PETRONAS Energy (India) Pvt Ltd Rizan Ismail yang dipetik sebagai berkata demikian dalam kenyataan sempena lawatan rasmi tahunan PETRONAS untuk menemui pelanggan dan rakan kongsi di ibu kota kewangan India, Mumbai, baru-baru ini.

Dalam dua dekad lepas, Petronas  telah mencatat kemajuan yang ketara dalam meningkatkan portfolionya di India dalam rantaian nilai, meliputi perdagangan minyak mentah, gas petroleum cecair (LPG), petrokimia, minyak pelincir, gas asli cecair (LNG), dan baru-baru ini, tenaga boleh baharu.

Susulan penubuhan Unit Perniagaan Tenaga Baharu, Petronas  menceburi perniagaan tenaga boleh baharu pada April 2019, dengan pengambilalihan Amplus Energy Solutions Pte Ltd (Amplus) – pemaju dan penyedia penyelesaian tenaga terkemuka yang memberikan perkhidmatan kepada pelanggan utama di India, dengan kapasiti terkumpul sebanyak 600MW menerusi operasinya.

“Pengambilalihan itu sejajar dengan aspirasi kami untuk menyediakan pilihan tenaga bersih yang meningkatkan kehidupan rakyat. Dalam jangka masa panjang, kami mahu dikenali di India sebagai rakan kongsi yang dipercayai dan penyedia utama kepada penyelesaian yang bersih, menjimatkan kos dan mampan,” kata Rizan.

Baru-baru ini, Amplus mencapai satu lagi kejayaan apabila ia melancarkan loji solar akses terbuka 75MW baharu di Mirzapur di negeri utara India, Uttar Pradesh.

Loji ini akan menawarkan penyelesaian tenaga karbon yang rendah kepada pelanggan industri dan komersial di Uttar Pradesh dan ia juga menjadi loji Akses Terbuka pertama negeri itu, katanya.

Sementara itu, perniagaan minyak pelincir PETRONAS di India menyaksikan kemajuan yang berterusan dengan permulaan operasi komersial untuk kilang adunan minyak pelincir syarikat itu di Patalganga, Maharashtra.

Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 97,000 juta tan setahun (mtpa), ia membolehkan Petronas  mencapai pengembangan rangkaian pengagihannya kepada 35,000 rangkaian daripada 12,000 rangkaian pada masa ini di seluruh negara menjelang 2021.

Selain itu, perniagaan LNG Petronas  di negara itu dijangka terus berkembang berikutan ia meninjau potensi peluang dalam rantaian nilai gas.

Ini mencerminkan komitmen Petronas  untuk menyokong aspirasi India untuk mempunyai gas asli mencapai 15 peratus daripada jumlah campuran tenaga negara itu menjelang 2030, dengan mewujudkan bersama pasaran gas.

Pada masa ini, Petronas  giat memanfaatkan ekosistem inovasi India dengan menjalin kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat utama di India. Ini termasuk bekerjasama dengan TATA Consultancy Services untuk mengoptimumkan rantaian nilai bersepadu hiliran, serta Accenture Ventures di Bengaluru dan GEP di Mumbai untuk membangunkan sistem berpusat untuk perolehan digital Petronas .

Di luar lawatan rasmi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas  Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin merasmikan pejabat PCM (Chemical) India Pvt Ltd, Petronas  (Energy) India Pvt Ltd dan Petronas  Lubricants (India) Pvt Ltd di New Delhi.

PETRONAS, melalui Universiti Teknologi Petronas  (UTP), turut menandatangani MoU dengan institusi tempatan seperti Amity University; BMS College of Engineering; Central Institute of Technology (CIT) Kokrajhar; dan Vellore Institute of Technology (VIT) untuk kerjasama dalam bidang pertukaran kepakaran akademik, kerjasama projek penyelidikan dan pertukaran pelajar.

Ini menunjukkan komitmen syarikat untuk memperluaskan kerjasama dengan rakan-rakan dari India dalam bidang tenaga dan lain-lain.

“Mengenai masa depan, kami akan meningkatkan usaha untuk melakukan inovasi dan menyesuaikan penawaran produk kami dengan memanfaatkan sinergi perniagaan yang dikongsi dengan rakan kongsi kami di India, serta kepakaran dan pengalaman kami dalam menyediakan penyelesaian yang inovatif,” kata Rizan. – MalaysiaGazette