Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan bersama perwakilan-perwakilan bergambar kenangan pada Konvensyen UMNO Negeri Selangor 2019 di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 19 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Belum pun reda isu pertemuan sulit 17 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di kediaman rasmi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali Isnin lalu, kini giliran UMNO Selangor pula bergolak.

Menurut sumber dalaman, krisis itu timbul apabila 16 daripada 22 Ketua UMNO Bahagian Selangor bertindak memboikot mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Selangor, hari ini.

MalaysiaGazette dimaklumkan, kesemua terbabit berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang didakwa mengetuai pertemuan sulit itu.

Lebih malang apabila kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Selangor yang baharu pula didakwa ‘budak suruhan’ Ahli Parlimen Sembrong itu.

“UMNO Selangor bergolak gara-gara Pengerusi dan Setiausahanya budak suruhan H20.

“Mesyuarat perhubungan gagal tidak cukup koram dan perkara itu pertama berlaku dalam sejarah UMNO Selangor,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Mesyuarat badan perhubungan itu hanya dihadiri oleh 11 pemimpin UMNO Selangor termasuk Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (Hulu Selangor) selaku pengerusi dan setiausahanya, Datuk Nasaruddin M Zin (Klang).

Antara yang hadir ialah Timbalan Pengerusi, Datuk Megat Zulkarnain (Gombak); Bendahari, Datuk Haji Mutalib Rahim (Petaling Jaya) dan Ketua Penerangan, Datuk Abd Rahman Bakri (Sabak Bernam).

Hadir sama Ketua Wanita, Datuk Rosni Sohar; Ketua Pemuda, Rizam Ismail; Ketua Puteri, Widia Wati Abuzar; Ahli Jawatankuasa, Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang); Naib Ketua Pemuda, Amin Mohd Shukor dan Naib Ketua Wanita, Azizah Harun.

MalaysiaGazette difahamkan perselisihan antara beberapa Ketua UMNO Bahagian di Selangor itu bukan kali pertama, sebaliknya memuncak apabila pertemuan sulit itu diketahui umum. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. pandai2 je…

    KB2 yg tak datang beberapa kerat je.. itu pun kerana punya hal2 yg tidak dpt dielakkan

Comments are closed.