GEORGE TOWN – Lelaki yang cedera parah ditikam rakan sekerja sebuah syarikat penghantaran dalam kejadian di Balik Pulau,  dekat sini pada Selasa lepas, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini selepas bertarung nyawa selama empat hari.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Jafri Mohd Zain berkata, Aidil Asran Omar, 24, meninggal dunia pukul 11.15 pagi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP kerana mengalami kecederaan parah di rusuk kiri, dada dan tangan selepas ditikam rakannya.

“Mangsa kritikal selepas ditikam dan pada Rabu dia telah menjalani pembedahan usus namun doktor memaklumkan keadaannya masih kritikal serta dipantau doktor pakar sebelum kami dimaklumkan meninggal dunia hari ini,” katanya di sini hari ini.

Katanya, mayat lelaki itu akan dibedah siasat di HPP sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Beliau berkata kes itu diklasifikasikan semula dan disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Jafri berkata, lelaki berusia 27 tahun yang ditahan kerana menikam mangsa akan dibawa ke mahkamah di Balik Pulau untuk direman bagi siasatan  menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, suspek sebelum ini di reman selama lima hari.

Dalam kejadian pukul 1.30 tengah hari, Aidil Asran yang bekerja di sebuah syarikat penghantaran mengalami kecederaan parah di rusuk kiri, dada dan tangan selepas ditikam rakan sekerjanya yang juga ketuanya.

Siasatan awal mendapati suspek sangat marah dan berang kerana ada di antara pekerja kumpulan itu termasuk mangsa tidak menepati masa ketika menjalankan tugas dan sebelum ini suspek telah beberapa kali menegur mereka.

Lelaki itu juga dikatakan memang berdendam dengan mangsa dan beberapa lagi pekerja di situ kerana terpaksa menjalankan kerja sendirian ketika lori tiba untuk mengambil barangan penghantaran. – MalaysiaGazette