Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit, seperti mata wang Asia lain, dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar US minggu depan dengan kebanyakan pelabur tidak memasuki pasaran, menerima tekanan daripada perkembangan mengenai rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kata peniaga.

Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan berkata, prestasi ringgit Malaysia akan terus terdedah kepada faktor luaran.

“Dalam masa terdekat, peningkatan melepasi purata pergerakan 50 hari boleh menyebabkan ringgit mencecah paras halangan 4.19, manakala paras sokongan segera dilihat pada 4.14, yang juga hampir kepada di mana purata pergerakan 200 hari mata wang itu kini berada.

“Menjelang memasuki minggu akhir November, pelabur akan terus berhati-hati mengenai rundingan perdagangan antara AS dan China. Jika perjanjian perdagangan dicapai yang termasuk pelaksanaan semula tarif sedia ada, ekonomi global dijangka terus menerima impak daripada konflik perdagangan yang berterusan,” katanya kepada Bernama.

Tan berkata, pelabur akan memberi tumpuan kepada data ekonomi utama yang akan dikeluarkan minggu depan, termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga AS dan keuntungan perindustrian China bagi Oktober.

“Kejutan positif dalam data boleh menampan peningkatan baru-baru ini dalam aset yang lebih berisiko, berikutan pelabur berharap perjanjian perdagangan AS-China dapat dimeterai,” katanya.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, unit tempatan susut kepada 4.1700/1750 daripada 4.1515/1545 dicatatkan minggu lepas.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0590/0638 daripada 3.0468/0501 sebelum ini dan berbanding yen kepada 3.8412/8469 daripada 3.8186/8217.

Mata wang tempatan susut berbanding euro kepada 4.6116/6188 daripada 4.5737/5787 dan merosot berbanding pound kepada 5.3672/3753 daripada 5.3446/3497. – MalaysiaGazette